السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

22 September, 2010

"ARWAHUL FUJJAR" KEMANA KESUDAHANNYA?

Siri lepas ana membicarakan tentang arwah yang soleh, jadi kali ni ingin pula ana melanjutkan lagi perbicaraan tentang "Arwahul Fujjar" pula.

Adapun bagi mereka yang kafir, kesengsaraan dan azab mula dirasai semenjak dari kematian lagi. Nyawa mereka dicabut oleh malaikat maut dengan kasar dan tanpa timbang-rasa. Malaikat maut sentiasa membentak dan mengherdik dengan nada keras dengan katanya, "Keluarlah segara wahai nyawa yang keji dari tubuh yang keji."

Maka meraunglah orang yang jahat itu seumpama himar (kaldai), suatu jeritan yang menyakitkan jika didengar. Namun jeritan ma'nawi itu tidak dapat didengari oleh telinga fizikal kita kerana Allah s.w.t. tidak berhajat memperdengarkannya ke telinga manusia yang hidup, sebagaimana juga mata fizikal tidak melihat akan perkara yang ghaib.

Setelah direntap keluar, roh tersebut diserahkan kepada malaikat yang bengis dan mengerikan, berpakaian serba hitam dengan bau yang sangat busuk. Roh orang kafir itu dimasukkan ke dalam sebuah karung yang kasar dan berduri sebagai menambahkan lagi azab ke atasnya lantaran perbuatannya yang menyalahi perintah Allah s.w.t.

Diterangkan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya "Kasyful Ulumil Akhirah", roh orang kafir yang di dalam karung tersebut akan bertukar menjadi seperti jasad manusia, tetapi sebesar seekor belalang kunyit.

Roh orang kafir yang dikekang malaikat yang bengis itu dibawa ke langit pertama. lalu malaikat penjaga langit pertama bertanya, "Roh siapakah ini?" Jawab malaikat Dukia'i (pembawa roh orang kafir), "Aku membawa roh keji si pulan bin si pulan."  Malaikat Dukia'i menyebut nama orang kafir itu dengan gelaran yang buruk dan keji.


Penjaga pintu langit pertama mengherdik roh tersebut dengan katanya, "Laa ahlan walaa sahlan walaa marhaban."  Ucapan yang mengambarkan ketibaan yang sangat tidak dialau-alukan dan tidak diraikan. Cara malaikat penjaga langit melayan kehadiran roh tersebut ibarat melayan tetamu yang tidak diundang dan telah diketahui kejahatannya. Bukan sahaja pintu langit tidak dibuka, bahkan diherdik lagi dengan kata-kata yang menyakit kan telinga mendengarnya. Demikianlah layanan buruk dari Allah s.w.t. dan para malaikatnya terhadap arwah golongan kafir. Maksud firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-A'raaf: 40, "Sesungguhnya orang-orang yang menduatakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan dirinya, sesekali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak pula mereka masuk syurga."


Malaikat penjaga pintu langit tidak membenarkan roh kafir tersebut melalui pintu langit. Oleh itu malaikat Dukia'i pun mencampakkan roh tadi, lantas ianya disambar angin yang kencang dan dihumbankan ke suatu jurang yang dalam. Maksud firman Allah s.w.t. lagi dalam Surah Al-Hajj: 31, "Dan barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan oleh angin ke tempat yang jauh." 


Apabila roh orang kafir jatuh ke jurang yang dalam tersebut, maka diambil semula oleh malaikat Dukia'i dan dibawa ke Sijjin (Penjara Gelap di dalam batu pejal). Semua arwah orang kafir disumbatkan Allah s.w.t. di dalam penjara batu ini.


Adapun roh orang-orang Yahudi dan Nasroni akan dilontar dari menghampiri Kursi Allah s.w.t. oleh para malaikat, lalu jatuh terhumban ke dalam kubur-kubur mereka. Sementara roh orang-orang musyrik pula tidak diberi peluang oleh Allah s.w.t. melihat jasad mereka yang diusung ke kubur.


Demikianlah nasib arwahul fujjar dan kuffar, sentiasa diazab dan dihina sebelum pun datangnya hari akhirat yang lebih dahsyat dan sengsara apabila dibangkitkan kelak bagi menerima hukuman yang sebenarnya dari Allah s.w.t.


Wal 'iyaaza billah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan