السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

24 September, 2010

KESABARAN SEORANG SUAMI (Ikhtibar Buat Diri)

Dan bergaullah kamu dengan mereka (para isteri) secara patut. Kemudian bila kamu TIDAK MENYUKAI mereka (maka BERSABARLAH) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menJADIkan pada dirinya KEBAIKAN yang BANYAK."
 (QS : An-Nisa ayat 19)

Sesuatu yang kita perlu ingat, Allah s.w.t. telah mentaqdirkan pasangan kita sesuai dengan kehendakNya. Kadang-kadang, kedua-dua suami dan isteri terdiri dari hambaNya yang sholeh, namun begitu ada juga yang hanya suami atau isterinya sahaja yang sholeh. Semuanya mengandungi hikmah yang sukar & tidak kita fahami.

Merujuk kepada ayat Al-Quran di atas, Al-Imam Al-Hafizh Adz Dzahabi menghikayatkan sebuah kisah dalam kitabnya Al-Kabair yang boleh dijadikan renungan oleh para suami (terutamanya diri ana sendiri).

Dinyatakan ada seorang soleh yang bersohabat dengan saudara fillah dari kalangan orang-orang yang sholeh juga. Sohabatnya ini biasa menziarahinya setahun sekali. Jadi pada suatu tahun, sohabatnya ini telah menziarahinya. Bila sampai ke rumah sohabatnya itu, Maka lelaki yang soleh tersebut telah mengetuk  pintu & memberi salam. Maka balas isteri kepada sohabatnya yang soleh tersebut, “Siapa”?

Jawab Si Soleh tadi, “Saudara fillah suamimu datang untuk menziarahinya."

Jawab isteri sohabatnya tadi , “Dia pergi mencari kayu bakar, semoga Allah tidak mengembalikannya (ke rumah ini), semoga dia tidak selamat.”  Perempuan  itu terus mencaci-maki suaminya.

Ketika saudara fillah orang soleh itu berdiri di depan pintu rumahnya, tiba-tiba orang sholeh tersebut muncul dari arah gunung dalam keadaan menuntun seekor singa yang membawa kayu api di atas belakangnya. Orang sholeh itupun mengucapkan salam dan selamat datang  kepada sohabatnya itu. Kemudian beliau masuk ke dalam rumah dan memasukkan pula kayu api yang dipikul oleh singa tersebut. Setelah itu beliau berkata kepada singa tersebut, “Pergilah....barokAllahu fiik (semoga Allah memberkatimu).”

Kemudian beliau mempersilakan sohabatnya masuk ke dalam rumahnya. Sementara itu, isterinya masih lagi mencaci-maki dirinya, namun tidak sepatah kata pun dia membalas cercaan isterinya itu.

Kemudian pada tahun berikutnya pula, sebagaimana kebiasaan saudara fillah kepada orang soleh tadi sekali lagi menziarahi orang sholeh tersebut. Bila sampai ke rumah sohabatnya maka beliau memberi salam dan mengetuk pintu. Beliau mendengar suara isteri sohabatnya yang sholeh tersebut bertanya, “Siapa di balik pintu?”

Jawab tetamu tersebut, “Fulan, saudara fillah suamimu,”

Jawab isteri sohabatnya tadi, “Marhaban, ahlan wa sahlan, tunggulah. Silakan duduk di tempat yang telah disediakan. Suamiku akan pulang..insyaAllah dengan kebaikan dan keselamatan.”

Saudara fillah ini merasa kagum dengan kesantunan ucapan dan adab isteri sohabatnya itu.

Tiba-tiba sohabatnya yang soleh tersebut tiba dengan memikul seberkas kayu api di atas bahunya. Saudara fillah tersebut merasa hairan dengan apa yang dilihatnya. Lalu orang soleh tersebut menghampirinya seraya memberi salam dan kemudiannya masuk ke rumah bersama-sama tetamu tahunannya itu. Isteri Is Soleh tersebut lalu menghidangkan makanan bagi keduanya dan dengan sopan menjemput keduanya menyantap hidangan yang disediakannya. 

Setelah beberapa ketika berada di rumah sohabatnya itu, maka sohabat yang bertamu itupun meminta izin untuk pulang. Sebelum pulang beliau berkata kepada sohabatnya yang soleh itu,
“Wahai saudaraku, beritahulah kepadaku tentang apa yang akan ku tanyakan kepadamu.”

Balas orang soleh tersebut, “Apa itu wahai saudaraku?”

Saudara fillah ini berkata, Pada tahun sebelumnya, ketika aku menziarahimu, aku mendengar ucapan seorang wanita yang buruk lisannya, mengucapkan kata-kata yang tidak baik dan kurang adab. Wanita itu banyak melaknat. Di samping itu aku juga melihatmu datang dari arah gunung dengan kayu apimu berada di atas belakang seekor singa yang tunduk di hadapanmu. 

Pada tahun ini aku mendengar ucapan yang bagus dari isterimu, tanpa ada celaan dari lisannya, tetapi aku melihatmu memikul sendiri kayu api di atas belakangmu. Apakah sebabnya?

Orang soleh ini menjawab, “Wahai saudaraku, isteriku yang buruk akhlaqnya itu telah meninggal dunia. Aku dulu bersabar menerima akhlaqnya dan apa yang muncul darinya. Aku hidup bersamanya dalam kepayahan, namun aku bersabar. Lantaran kesabaranku menghadapi (karenah) isteriku, Allah telah menundukkan untukku seekor singa yang engkau lihat ia memikulkan kayu apiku.

Ketika isteriku itu meninggal, aku pun menikahi yang solehah ini dan hidupku bahagia bersamanya. Maka singa itu tidak pernah lagi datang membantuku hingga aku terpaksa memikul sendiri kayu api di atas belakangku kerana aku sudah hidup bahagia bersama isteriku yang diberkati lagi taat.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan