السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Memaparkan catatan dengan label Persilatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persilatan. Papar semua catatan

13 Februari, 2012

APAKAH ITU TAPAK SUCI?

Alhamdulillah di kesempatan ini suka ana kongsikan sedikit pandangan tentang keilmuan Tapak Suci yang kerap diajukan kepada ana, sama ada yang berminat untuk mengetahui, mengkaji mahupun untuk belajar. Sebenarnya ana bukanlah seorang yang ahli, jauh sekali layak untuk memperkatakan semua ini. Namun atas dasar perkongsian ilmu yang ana ada dan tahu sekadarnya, dengan harapan nanti Allah s.w.t. akan mengurniakan pula kepada ana akan ilmu-ilmu yang masih belum ana ketahui...maka ana gagahi juga untuk mencoret sedikit cacatan yang mudahan memanfaati mereka yang berhajatkannya. Walaa haula wala quwwata illa billahi.


Adapun kemudian dari itu,


Keilmuan Tapak Suci adalah merupakan salah satu daripada cabangan ilmu Islam yang dikategorikan sebagai ilmu hikmah1. Ia berlandaskan kepada aqidah Islam yang sohih, syariat yang disepakati oleh jumhur ulama’ dan amalan tasawwuf yang haq sebagaimana pegangan golongan ahlul sunnah wal jaama’ah.

Keilmuannya terdiri daripada amalan kerohanian dan juga riadhoh2 fizikal yang mana menjurus lebih kepada beladiri dan juga perubatan, zohir mahupun bathin.

Adapun amalan asas kerohanian Tapak Suci terdiri daripada susunan ayat-ayat suci Al-Quranul Kariim, selawat, zikir-zikir Nabawiyyah, asmaullah dan doa-doa tertentu yang antaranya bertawassul dan bertabarok3 kepada kemuliaan, rahmat, ni’mat, hikmah dan keilmuan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada auliaNya, khususnya Wali Songo atau Wali Sembilan yang terkenal dengan usaha gigih mereka menda’awah, membawa dan menyebarkan agama Islam di Tanah Jawa pada suatu masa dahulu. Susunan amalan kerohanian ini diajar dan dijadikan sebagai  wazifah4 kepada ahli agar ia menjadi asbab yang dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t., menyucikan nafsu buruk mereka, menghidupkan hati mereka dan menguatkan roh mereka lalu dengannya memghasilkan suatu kekuatan rohaniyyah yang mampu membenteng diri mereka dari anasir negatif, zohir mahupun bathin serta menjana pembentukan akhlaq dan peribadi yang baik dan mulia.

Mendemonstrasikan jurus
Empat Kilas kepada sahabat
ana Ustaz Wan Al Kutangi
semasa beliau menziarah ana
di teratak ana di Merapoh
baru-baru ni.
Manakala riadhoh fizikal pula adalah terdiri daripada olahan nafas dan juga olahan gerak yang disusun dalam suatu gerakan yang dipanggil atau dikenali dengan gerak Jurus5 Bathin Tapak Suci. Ia terdiri daripada sepuluh gerakan jurus asas. Setiap gerakan jurus mempunyai fungsi dan hikmahnya yang tertentu yang mana boleh dimanipulasikan oleh pelatihnya bagi kegunaan beladiri mahupun perubatan. Gerak jurus ini diriadhohkan dengan tujuan bagi membangkitkan dan menguatkan tenaga dalam pengamalnya ke suatu tahap yang mana dia mampu memanipulasikannya untuk pelbagai tujuan dengan izin Allah s.w.t. Tenaga dalam yang kuat akan memberikan suatu kekuatan jasmaniyyah kepada pengamalnya.

Maka dengan kesepaduan kekuatan rohani dan jasmani yang dinyatakan di atas, adalah diharapkan agar pengamal keilmuan Tapak Suci ini akan menjadi seorang hamba Allah s.w.t. yang pada setiap masa mengabdikan diri mereka kepadaNya dengan sebaik mungkin sebagai tanda syukur di atas limpah kurniaNya, meninggikan syiarNya, mempertahankan kedaulatan agamaNya, menda’awah dan memperjuangkan agamaNya dan juga dapat meluangkan masa menabur bakti kepada keluarga dan masyarakat dengan matlamat menjadikan mereka juga sebagai hamba-hamba Allah s.w.t. yang mengabdikan diri dan berbakti kepada Tuhan mereka.

Wallahu a’alam bissowaab.


_______________________________________________________________


1 ilmu hikmah - suatu amalan kerohanian yang terdiri daripada ayat-ayat Al Quran, doa-doa tertentu, hizib atau jampi-jampi yang diharuskan syara’ sama ada dalam bahasa Arab atau selainnya dan diimbangi dengan adab-adab bathin untuk mendekatkan diri pengamalnya kepada Allah s.w.t. dan membersihkan jiwa dari berbagai penyakit hati. Ilmu hikmah boleh dalam bentuk amalan berupa zikir, tabarrok, bertafakur, membersihkan hati, bersikap bijaksana atau riadhoh tertentu sesuai ajaran para guru atau ulama’

2 riadhoh - latihan, senaman

3 bertawassul dan bertabarok – memohon sesuatu hajat dari Allah s.w.t. dengan keberkatan Mursalin, Anbiyaa’, auliaa’, solehin, syuhada’, kalamullah, asmaaullah, perkara-perkara dan benda-benda yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.

4 wazifah - tugasan harian, amalan harian

5 Jurus – buah pukulan yang lazim diguna pakai dalam ilmu beladiri

05 September, 2011

MAJLIS PERHIMPUNAN GURU/WAKIL GURU & AHLI TAPAK SUCI 2011

Alhamdulillahi 'ala kulli haal...pada Sabtu, 3hb Sept 2011, ana telah diizinkanNya untuk hadir perhimpunan guru/wakil guru serta ahli Tapak Suci di Pondok Pancor, Kota Bharu, Kelantan. Syukran jazilan atas jemputan.


Majlis dimulai dengan tahlil dan doa selamat, diikuti dengan sedikit perkongsian pengalaman beberapa orang lama dalam Tapak Suci yang juga merangkap guru/wakil guru di serta negara. Namun ramainya di Kelantan sendiri. Ana bersyukur kerana dapat mengenali, berkenalan dan beramah mesra dengan orang-orang lama di samping menimba pengalaman mereka sebagai panduan kepada diri ana yang masih baru dalam Tapak Suci ni. Perkongsian pengalaman mereka insyallah akan dijadikan teladan & nasihat mereka akan dijadikan panduan & ingatan sebagai salah seorang ahli Tapak Suci. 

Abang Saiful Hazami sedang menyampaikan pengalaman beliau dalam Tapak Suci.

Sebahagian ahli-ahli lama Tapak Suci.


Masuk jugok gambar ana...dok nyelit tengoh orang rama...

Dato' Nik Amar bersama-sama guru/wakil guru Tapak Suci.

Penerimaan ahli-ahli baru yang turut sama diadakan.


Kemudiannya majlis diserikan lagi dengan demonstrasi 10 jurus asas yang asal sebagaimana yang diperturunkan oleh Allahyarham Abe Ya oleh salah seorang anak murid Abe Him (orang lama), gerakkan silat oleh Abe Mat (salah seorang jurulatih ana semasa di gelanggang baru Tanjung Chat, Kota Bharu) & juga Abe Saiful Gerak Haq. 

10 Jurus Asas Tapak Suci (Asal)


Gerak oleh Abg Mat

Gerak oleh Abg Saiful



Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pergambaran & jamuan oleh Dato' Nik Amar yang juga merupakan seorang dari Guru Persilatan Tapak Suci.



27 September, 2010

NAK BELAJAR TAPAK SUCI?




Semenjak ana bercerita tentang pengalaman ana dalam Tapak Suci, ada beberapa orang mula bertanyakan ana tentang Tapak Suci & ada juga yang ingin mempelajarinya. Sebagaimana yang ana telah nyatakan, ana tidaklah tahu sangat tentang PSS Tapak Suci ni melainkan hanya sekadarnya sahaja. Selebihnya hanya pengalaman peribadi ana sendiri.


Secara terus terangnya, semenjak ana ditauliahkan sebagai guru dalam PSS Tapak Suci ni, ana hanya baru ada seorang murid (tu pun sebab Abang Aziz yang suruh ana terima sebab pada masa tu Abang Azizi sibuk dengan urusannya yang tidak memungkinkan dia untuk menerima sendiri murid tersebut).




Kenapa? Kenapa tak bukak gelanggang macam Cikgu Wan Zil Aman bukak kat Kampung Petola? Satu soalan yang biasa ditanya. Antara jawapannya, pertama tanggungjawab untuk mendidik seorang murid sehingga ke suatu tahap yang dia sudah mula boleh berdikari sangat besar & bukannya sesuatu yang boleh dibuat main, jadi ana sedar yang ana setakat ni tak mampu memberikan komitment sepenuhnya sebagai seorang guru (Maafkan ana Wan...maafkan ana tak dapat memberikan bimbingan yang sebaiknya).

Keduanya, keilmuan pada seseorang yang ingin menjadi guru perlulah mencukupi (dan sedaya upaya diamalkan), agar apa yang disampaikan kepada muridnya dapat menjadi pedoman & pengajaran serta dapat membentuk keperibadian diri murid yang luhur dan murni selaras dengan tuntutan Islam yang mana ana sekarang ni pun masih lagi terasa kekurangannya dan masih lagi mencari. Keilmuan yang ana maksudkan bukanlah hanya tertumpu pada ilmu persilatan & ilmu hikmah sahaja, bahkan juga aqidah, fiqh, tasawuf, adab, hadith, tafsir & seumpamanya lagi (tu yang besungguh nak balik Kelantan tu...kat sana peluang untuk mempelajari semua ni sangat banyak berbanding di sini).

Ketiganya, ana sendiri kurang mahir tentang selok-belok persilatan (walaupun dalam Tapak Suci sebenarnya lebih dari itu, kalau mahu mencari gali keilmuan & rahsianya) kerana semasa ana belajar dulu ana hanya mendapat bimbingan secara tersusun sekejap je...kebanyakkannya latihan sendiri yang tidak terpandu. Ana menyedari perkara ini bila ana mengikuti satu persilatan lain, iaitu Silat Karomah. Melalui Silat Karomah, banyak rahsia dalam persilatan dinyatakan oleh gurunya, yang secara tak langsung juga membukak rahsia dalam persilatan Tapak Suci (walaupun ana sendiri tak sempat menguasai sebahagian besar darinya). Perkara ini mungkin sudah diketahui oleh orang-orang lama dalam PSS Tapak Suci, tapi bagi ana yang masih baru ni (setelah lama meninggalkannya)...ianya merupakan sesuatu keilmuan yang baru yang Allah s.w.t. telah dedahkan kepada ana...alhamdulillahi ‘ala kulli hal.

Seterusnya, konsep yang ana bawa sekarang agak berbeza dari dulu. Kenapa ana katakan demikian? Adakah ana cuba mengubah Tapak Suci yang asal? Apa buruknya atau kurangnya Tapak Suci yang asal? Suatu perkara yang agak kontoroversi untuk dibincangkan sekiranya sikap berlapang dada & terbuka minda tidak diamalkan. Suka ana jelaskan di sini, ana bukannya mengubah apa yang ada dalam Tapak Suci yang asal, tapi cuma memperkemaskan dari sedikit keilmuan yang Allah s.w.t. telah kurniakan & juga hasil dari pengalaman sendiri & mereka yang pernah terlibat dengannya, sama ada mereka sedar atau tidak....atau mahu terima atau tidak. Hakikatnya itulah yang telah berlaku & terjadi. Mungkin juga semasa ana belajar dulu, perkara ini tidak dijelaskan pada ana kerana pelbagai sebab. Wallahu a’lam bissowab.

Konsep pertama yang suka ana kongsikan di sini adalah niat belajar yang betul. Ini kerana setiap amal perbuatan dinilai pada niatnya. Sekiranya kita belajar silat dengan niat nak menjadi hebat, nak jadi kuat, nak bermegah-megah, maka dengan ilmu persilatan yang kita belajar, ianya akan merosakkan diri kita nanti. Bukan itu sahaja, niat yang selain dari mencari keredhaan Allah ini juga lazimnya akan mengundang “pendamping” atau “khodam”. Mereka ini sangat suka mengambil kesempatan ke atas orang yang beramal dengan mengharapkan kelebihan keduniaan untuk manfaat keduniaan sahaja. Mereka biasanya akan menyesatkan & merosakkan diri pengamal yang sebegini. Na’uzubillahi min zaalik. Bahkan dalam bab niat yang terpesong ini, bukan sahaja dalam persilatan, bahkan dalam lain-lain amalan pun. Sekiranya tiada keikhlasan...maka rosaklah amalan tersebut walaupun pada asalnya amalan itu adalah amalan yang baik, contohnya membaca Al-Quran atau solat sunnat, tapi kerana ujub, nak bermegah-megah, nak orang katakan sebagai alim, baik & seumpamanya, maka rosaklah amalan tersebut walau pada asalnya ianya baik. Inilah kerja halus syaitan la’natullah. Ingat! Perkara baik boleh jadi rosak dengan sebab niat yang salah.

Konsep keduanya, amalan dalam Tapak Suci adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., membersihkan hati & mengekang hawa nafsu...bukannya untuk menjadi hebat dalam silat. Sebab yang hebat, kuat, gagah, sakti pada hakikatnya hanyalah Allah s.w.t. Sebagai seorang mu’min yang sejati, kita diminta agar menyandarkan diri kita, mengharap pertolongan & perlindungan serta memohon hajat kita hanya pada Allah s.w.t. sahaja. Bila kita dekat dengan Allah, hati pula bersih dari kekotoran syirik & dosa, ditambah lagi dengan nafsu yang terkawal yang kemudiannya Dia kasih pada kita...maka insyallah doa kita nanti tidak akan Dia sia-siakan. Bila kita berdoa & memohon, insyallah Dia akan tunaikan mengikut apa yang dirasakan oleh Allah s.w.t. patut & selayaknya kita terima, kerana Dia Maha Mengetahui segala keperluan & hajat kita. Bukankah dalam Tapak Suci ada banyak doa-doanya atau dimulai dengan doa & antara doa yang masyhur Doa Nurun Nubuwwah? Jadi jangan hairan bila kita lihat seseorang yang sudah lama beramal, tapi masih selesa bergelumang dengan dosa, masih malas mempelajari ilmu & menambahkan ilmunya terutama ilmu-ilmu agama, masih leka dalam ibadahnya, masih buruk adab & kelakuannya, masih buruk lisannya, masih rosak & buruk akhlaqnya dan seumpamanya. Ini kerana amalnya itu tidak mampu membentuk keperibadian yang luhur & murni selaras dengan kehendak Islam yang diajar & dibawa oleh Baginda Rasulillahi s.a.w. Kenapa ini boleh terjadi? Kerana amalan yang dilakukan bukan kerana mencari keredhaan Allah s.w.t....amalan yang dilakukan dengan niat untuk mendapatkan kelebihan dunia. Maka amalan sedemikian menjadi istidraj bagi pengamalnya, iaitu pengamalnya mendapat pelbagai kelebihan dari Allah s.w.t. tetapi dalam masa yang sama mereka semakin jauh dari Allah s.w.t. Adakah ini apa yang kita cari & kehendaki dalam kehidupan yang sementara ini? Na’uzubillahi min zaalik.

Konsep ketiganya, persilatan sebagai salah satu medium da’awah, iaitu dengan menjadikan silat sebagai tarikan kepada pemuda utamanya untuk kemudiannya mendekatkan diri dengan amalan serta keilmuan Islam. Perkara ni dijalankan dengan penuh hikmah & berperingkat-peringkat. Mudahan nanti akan lahir pesilat yang berkeperibadian luhur & murni selaras dengan kehendak Islam, bukannya pesilat yang sombong & angkuh dengan keperibadian & akhlaq yang buruk.

Ana berharap bagi sesiapa yang ingin belajar dapat memahami konsep niat & beramal agar kita tidak terpesong & tersesat dalam cahaya nanti, insyallah. Rasanya setakat ini dulu perkongsian ana sekadar batas ilmu yang ana miliki dengan izinNya...segala silap & salah harap dimaafkan. Yang bermanfaat, ambil & amalkanlah...yang buruk, jadikan pengajaran & teladan.

Wallahu a’lam bissowab.

22 September, 2010

JUMPA SUPER SENIOR PSS TAPAK SUCI

Selepas menamatkan kursus KPLI di Maktab Perguruan Teknik Cheras, ana telah ditugaskan ke SMK Merapoh. Mula bertugas pada 2 Januari 2004 dengan mengajar subjek English & Lukisan Kejuruteraan.

Masa kat SMK Merapoh tu ana telah ditemukan dengan seorang guru vokasional, Cikgu Wan Zil Aman namanya. Dia merupakan super senior ana dalam PSSTS. Dia merupakan salah seorang ahli PSSTS yang telah ditauliah (tauliah guru) untuk mengajar & bukak gelanggang  oleh Arwah Ayoh Suh, tapi bukan di Kelantan (kerana menghormati Guru Utama PSSTS yang berpusat di Kelantan).

Jadi melalui dia ana mendapat sedikit lagi tambahan maklumat tentang PSSTS. Kami seringkali bermuzakarah. Bahkan dia bersungguh mengajak ana untuk bersama dia dalam mengajar & berlatih PSSTS. Ana berkesempatan sparing dengan beliau pada suatu hari semasa menziarahinya di Pagar Sasak. Ekoran dari itu, beliau bersungguh-sungguh mengajak ana jumpa dengan Abang Aziz untuk mendapatkan ijazah & seterusnya tauliah sebagai guru. Awalnya ana menolak kerana dah lama mengabaikan PSSTS, tapi setelah berkali-kali diajak, akhirnya ana telah pergi berjumpa dengan Abang Aziz. Alhamdulillah pada waktu itu ana telah diijazahkan & ditauliahkan sebagai Guru dalam PSSTS. Tapi sebagaimana juga Cikgu Wan Zil Aman, ana hanya dibenarkan mengajar di luar Kelantan sahaja sebagai menghormati Guru Utama, melainkan mendapat izin terlebih dahulu. 

Cikgu Wan Zil Aman telah membuka gelanggang di Kampung Petola, dekat Kechau, Kuala Lipis, Pahang. Setelah berkali-kali mendapat jemputan dari beliau ana akhirnya ke sana pada suatu malam untuk menunaikan hajatnya. Beliau meminta ana mengajar tentang ilmu nafas, tafakkur/tahanuth bahkan juga bermuzakarah tentang asas ilmu tasawwuf (sekadar yang ana telah belajar & ketahui je). 

Setelah beliau bertukar sekolah sehinggalah sekarang ana dah lama tak berhubung dengan dia. Dulu ada juga jarang-jarang. Perjumpaan terakhir di Pagar Sasak akhir tahun lepas tak silap ana, semasa ana diminta untuk merawat seorang budak lelaki yang mengalami gangguan setelah kematian ayahnya.

Walaubagaimanapun ana sangat berterima kasih kepada Cikgu Wan Zil Aman kerana dia telah Allah t.a. jadikan sebab bagi ana diijazah dan ditauliahkan sebagai guru dalam PSSTS setelah sekian lama dalam PSSTS (walaupun tak aktif). Segala usaha & jasa baik beliau hanya Allah s.w.t. sahaja yang dapat membalasnya.

Wallahu a'alam.

21 September, 2010

MINTAKLAH PADA ALLAH!!!



Adapun kali ni ana sambungan panglipulara ana berkenaan pengalaman ana dengan PSSTS (ada seseorang mintak ana sambung, katanya cerita ana tergantung).

Lanjutan ceritanya, selepas ana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah IPT kat Manjong, Perak awal 90an, ana telah meninggalkan gelanggang PSSTS di Taman Koperatif, Tanjung Chat, Kota Bharu. Sebenarnya pada masa tu ana dah lama dah tak beramal dengan amalan PSSTS maupun bersilat, lantaran masalah yang ana kemukakan sebelum ni. Semuanya kerana mengambil jalan selamat, tak nak terlibat dengan sebarang amalan atau keilmuan yang ada campur-tangan atau menggunakan khodam jin, walaupun ianya belum pasti PSSTS betul-betul terlibat.

Semasa kat IPT tu, biasalah petang-petang kekadang tu ana merasa sangat bosan. Ana tak minat bola ke...hoki ke... Jadi kekadang petang ana "jogging" dengan beberapa member rapat (seusrah) keliling bandar Manjong. Selain dari aktiviti "jogging", lantaran kerana kebosanan yang amat sangat bila member semua ada urusan sendiri atau malas nak "jogging", ana bersilat sorang-sorang kat bilik (setelah sekian lama tinggal). 

"Subhanallah...! Buleh bersilat lagi ruponya aku...padahal lamo doh tok bersilat nih" kata hati ana masa mula-mula buat gerak silat. Jadi lepas dari kejadian tu, setiap kali kalu tiada aktiviti yang nak d buat belah petang ana bersilat sorang-sorang. Sihat apa riadhah..berpeluh gak!

Nak dijadikan cerita suatu hari tu ada member datang bilik, dia terkejut tengok ana dok bersilat sorang-sorang. Dia tunggu sampai habis. Lepas tu dia bagitau ana yang dia berminat gak nak bersilat dan mintak ana ajarkan dia. Terkejut ana! Ajar? 

Ana terangkan kat dia kedudukan ana dalam silat macamana ana belajar dulu, kaedah dan konsepnya lebih kurang serta apa-apa yang berkaitan yang ana ingat & tahu. Ana juga katakan yang ana bukannya guru, tak layak pun, tak mahir, takde tauliah dan macam-macam lagi, tapi dia mendesak. Sehingganya ana pun tak tahu nak buat macamana. Manala...ana reti nak terima murid. Bersilat pun tah ok tah idaknya...malu pulak terasa.

Akhirnya kerana desakan beliau, ana suruh je dia buat solat hajat, doa minta dengan Allah s.w.t. Kan Dia Maha Alim lagi Maha Mengetahui segala sesuatu. Dah nak bersilat sangat mintak kat Dialah. Tapi ana ajarlah doanya. Bukan apa pun doa mintak pandai bersilat la... Member tu mengangguk-angguk je dengar penjelasan ana. Tah faham ke tah idak dia, tak la ana kesah sangat sebab ana bukan niat nak mengajar dia pun. 


Keesokan harinya bila kami jumpa, dari jauh dia tersenyum. Ana tengok semacam je kawan aku nih. Pastu dia berbisik kat ana..."Dah dapat dah." Ana tanya, "Dapat apa?" Dia jawab, "Dah dapat dah bersilat. Tapi tak la lawa gerakannya macam kau." "Biar betul Li?" ana dengan nada agak terkejut. Mau tak terkejut, ana dulu nak dapat bersilat, ada beberapa proses kena lalu, ni member ni...senang je bunyinya. "Aku buat macam yang kau ajaq la. Solat hajat pastu doa minta ngan Allah. Pastu doa mintak gerak silat." balasnya balik. Ana termenung panjang. "Betullah mintak dengan Dia, kalu diizinkan dapatlah. Apa masalahnya pulak. Kan Allah s.w.t. suruh mintak dengan Dia kalau nak apa-apa sahaja dari keperluan dunia ni, lebih-lebih lagilah keperluan akhirat (teringat apa yang pernah didengar masa usrah & kuliah agama kat surau). Takde pulak Suhaili ni buat benda-benda yang salah untuk bersilat. Solat hajat & doa je...erm..." 

Jadi untuk kepastian ana mintak dia bersilat depan ana (kat dalam bilik la kan). Ok apa! Lepas dari peristiwa tu, kami biasa bersilat bersama, tapi tak sparing la (rasanya la) sebab ana bukannya mahir atau guru dalam silat ni. Saja riadhah nak sihatkan badan. takut jadi apa-apa nanti susah.

Jadi dari peristiwa tu perspektif ana tentang PSSTS mula berubah, iaitu kalau nak apa-apa doa je dengan Allah s.w.t. kalau ada rezeki dapat la yang dihajati, kalau tak, adalah...Allah t.a. Maha Mengetahui apa yang baik bagi hambaNya. Tak ke gitu?

Wallahu a'alam bissowab.

17 September, 2010

PERGURUAN SENI SILAT TAPAK SUCI

Syukur alhamduliLLAH, dengan kudrat & iradatNya dapat ana mencoretkan sedikit sebanyak pengalaman lalu yang pernah ana lalui sewaktu pertama kali mempelajari ilmu hikmah yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada keilmuan dalam Perguruan Seni Silat Tapak Suci (PSSTS). Ana mempelajarinya sewaktu di tingkatan 4 dengan mendapat tunjuk ajar dari Ayah Od (Tok Wan Daud) dengan Abang Di sebagai juruletih (hehehe...memang letih pun). Selepas ketiadaan Abang Di, tempat beliau diganti pula oleh Abang Mat. Walaubagaimanapun, guru utama yang dikatakan mendapat tauliah dari pengasas PSSTS adalah Ayoh Soh (Tok Wan Yusuf) kalu tok silap ana la.

Ana bab-bab sejarah persilatan ni ana tok tahu sangat, yang ana utamakan adalah belajar silat untuk beladiri. Tapi ana tak lama di gelanggang sebab menyambung pengajian ke institusi yang lebih tinggi. Oleh tu, ikhlasnya ana tak begitu mahir dalam bab persilatan ni walaupun mampu "menari" (gaya je lebih).

Setelah beberapa ketika, berlaku kekecohan berkenaan PSSTS ni berikutan "gerak" & jurus yang dikatakan ada unsur-unsur menggunakan khodam (jin) lantaran mampu melakukan perkara yang dianggap luar biasa. Ana cuba mencari jawapan dari orang lama, namun tiada jawapan yang memuaskan. Lantaran itu ana telah tinggalkannya selama lebih 15 tahun sehingga ana telah bertemu dengan beberapa orang ustaz & mereka yang ahli dalam ilmu hikmah ni....

Merujuk kepada amalan yang diberikan dalam PSSTS, amalannya terdiri daripada;

Wirid Asas
  1. Ta'awudz
  2. Basmallah
  3. رضيت بالله
  4. Al-Fatihah
  5. Al-Ikhlas
  6. Al-Falaq
  7. An-Naas
  8. Selawat Ibrahimiyyah
  9. Ayatul Kursi
  10. Syahadah
  11. Hasballah
  12. Doa Nurun Nubuwwah
  13. Doa Mohon Ilmu
Amalan Pengisian Jurus
  1. Ta'awudz
  2. Basmallah
  3. Syahadah
  4. Hasballah
  5. Doa Pengisian
  6. Olah Jurus (10 Jurus Asas)
Wallahu a'alam bis sawab