Dalam membicarakan bab keilmuan, tak kiralah apa sahaja bidang keilmuan, maka tak dapat tidak, akan pasti menyentuh tentang keluasan & ketinggian ilmu ALLAH s.w.t. Ianya tak dapat nak dijangkau oleh kecetekan pengetahuan kita manusia melainkan sekadar yang diizinkanNYA sahaja.
Dalam menyentuh bab ilmu hikmah, banyak di antaranya yang memberi syarat kepada pengamal atau pelajar-pelajarnya yang dikatakan sebagai pantang larang keilmuan. Dalam masalah ini, sekiranya syarat atau pantang larang itu berbentuk petua semata-mata, biasanya tiada masalah. Contohnya menghindari dari memakan benda-benda berdarah seperti daging dan telur bagi tujuan 'menajamkan' mata hati atau tidak mandi selepas Maghrib bagi mengelakkan tubuh menjadi lemah atau merenung api lilin dalam suatu jangkamasa tertentu dengan tujuan mempertajamkan pandangan mata.
Pun begitu, apa sahaja petua yang diamalkan hendaklah diingat bahawa itu semua adalah hanya sekadar petua semata-mata dan bukannya sebahagian dari syariat agama. Oleh itu, janganlah sampai yang dilarang dalam petua itu kita anggap sebagai haram dan yang disuruh itu sebagai wajib.
Ada satu riwayat menyebutkan bahawa seorang ibu meminta tolong dari Rasulullah S.A.W. untuk menasihati anaknya supaya mengurangkan pengambilan gula dalam makanan & minumannya. Maka dikatakan setelah Rasulullah S.A.W. mengelakkan diri Baginda daripada mengambil gula dalam tempoh 3 hari, barulah Rasulullah S.A.W. berjumpa dan menasihati anak tersebut dan ini adalah juga termasuk dalam petua (iaitu untuk menjadikan nasihat kita mudah diterima orang, kita sendirilah kena terlebih dahulu amalkan/buat).
PERSOALANNYA:
Bagaimana kalau pantang-larang itu dikaitkan dengan hukum-ahkam agama? Contohnya, kalau anda nak amal sesuatu ilmu itu, pantang-larangnya anda mestilah menjaga solat fardhu 5 waktu, sebaik-baiknya berjemaah lagi, mesti berpuasa penuh di bulan Ramadan, mesti mengeluarkan zakat, tak boleh berzina, tak boleh minum arak, tak boleh berbohong atau menipu dan sebagainya lagi.
Dalam permasalahan ini, kita perlu mengambil kira beberapa perkara, iaitu salah satunya yang paling utama adalah adakah amal ibadah yang dikerjakan itu, kita buat dengan ikhlas mengharapkan keredhaan Allah atau hanya kerana ingin meraih kelebihan keduniaan yang mungkin diperolehi dari ilmu yang diamalkan & dipelajari? Macamana dapat kita ketahui yang niat kita itu betul atau sudah terpesong dari yang sepatutnya? Apakah ada tanda-tanda & alamatnya?
Adapun antara tanda-tanda sesuatu amalan itu tak dikerjakan dengan ikhlas & hanya didorong oleh keghairahan kita mencari kelebihan ilmu semata-mata adalah; - Kita hanya mula mengerjakan ibadah, solat terutamanya hanya apabila kita mula mempelajari sesuatu ilmu atau mula menerima ijazah sesuatu keilmuan. Sedangkan kalau tak kerananya, maka kita tak terniat sedikit pun untuk mengerjakan segala ibadah tersebut.
- Kita semakin tekun beribadah dan beramal lantaran kerana kita semakin mengharapkan mendapat kelebihan-kelebihan keduniaan dari keilmuan yang kita pelajari & amalkan.
- Semakin kurangnya harapan kita terhadap ilmu yang kita tuntut atau semakin kita merasakan ianya tak lagi diperlukan sangat atau juga kerana ilmu itu kurang berkesan dan sebagainya, maka semakin malas pula kita beramal ibadah.
- Kita berhenti beramal ibadah apabila kita berhenti atau meninggalkan (membuang) amalan ilmu kita itu.
- Kita beramal ibadah atau mencegah diri kita dari perbuatan mungkar lantaran kerana takut ilmu tak menjadi atau takut ilmu makan diri.
dan sebagainya lagi.
Kalau beramal ibadah, mentoati suruhan-suruhan dan meninggalkan larangan-larangan agama dikeranakan oleh sebab-sebab di atas, bererti keikhlasan kita boleh dipersoalkan.
Meskipun pantang-larang ilmu itu pada asalnya dibuat sebagai pendorong kepada para murid atau pengamal agar toat kepada ALLAH s.w.t., tetapi bagi sesetengah murid yang tidak memahami atau kurang faham akan permasalahan sebegini, maka dia sebenarnya bukan lagi toat kepada ALLAH s.w.t. tetapi sebaliknya.
Sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud, "Sesungguhnya setiap amal itu tergantung pada niat. Kalau seseorang itu berhijrah kerana ALLAH dan RasulNYA, maka hijrahnya itu adalah untuk ALLAH dan RasulNYA dan jika hijrahnya itu untuk (mengahwini) seseorang wanita, maka hijrahnya itu adalah untuk apa yang ia niatkan."
Mitsalnya membaca ayat-ayat Al-Quran atau berzikir, jika dibacakan/dizikirkan dikeranakan oleh keilmuan yang kita pelajari bukan ikhlas kerana ALLAH, maka amalan itu akan menjadi sia-sia dan tiada nilainya di sisi ALLAH s.w.t. Dengan kata lain, kita telah terperangkap dengan tipu-daya syaitan melalui amalan keagamaan/kebajikan yang mana walaupun pada asalnya & asasnya amalan itu merupakan amalan soleh tapi telah bertukar menjadi amalan toleh lantaran rosaknya niat. Ditambah lagi masalahnya bila dalam keadaan sebeginilah syaitan atau jin-jin yang jahat akan mengambil kesempatan untuk menyesatkan lagi si pengamal keilmuan tadi.
Bahkan para ulama' Islam telah bersepakat menyatakan bahwa apa saja amalan yang dikhususkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, tetapi kemudiannya bertukar niatnya kepada selainnya, maka seseorang itu telah jatuh syirik. Contohnya jika kita niatkan bersolat Zohor kerana Allah t.a., tetapi hati kita sebenarnya mengharapkan kelebihan-kelebihan tertentu dari kelebihan keduniaan, maka samalah sepertinya kita menyamakan kedudukan ALLAH t.a. itu dengan kelebihan-kelebihan keduniaan yang bakal diraih dari ilmu yang dipelajari atau diamalkan. Sedangkan kita semua tahu bahawa niat dalam melakukan sesuatu amalan itu wajib diikhlaskan hanya semata-mata kerana ALLAH s.w.t. dan tidak kepada yang selainNYA.
PERLUKAH KITA TINGGALKAN?
Bergantung kepada ilmu yang dipelajari, sama ada ianya menyalahi syara' atau tidak. Kalau sesuatu keilmuan itu tidak bercanggah dengan syariat, contohnya tidak melibatkan penggunaan jin atau perkara-perkara yang haramkan oleh ALLAH s.w.t., maka tidaklah perlu kita tinggalkan. Yang perlu hanyalah mengikhlaskan niat kita ketika beramal dengan keilmuan itu. Contohnya mengamalkan ilmu-ilmu pendinding diri dan keluarga, mengamalkan ilmu perubatan untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan, mengamalkan ilmu persilatan & beladiri serta pelbagai lagi keilmuan yang baik dan berfaedah. Semuanya hendaklah diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Dengan kata lain, dalam konteks yang lebih luas, segala sesuatu yang baik itu boleh menjadi jalan untuk kita meraih keredhaan ALLAH s.w.t. kalau kena pembawaan & cara gayanya berlandaskan kepada syariat Islam. Setiap perkara yang baik itu ALLAH s.w.t. telah jadikannya sebagai jalan-jalan untuk hamba-hambaNYA menuju padaNYA....InsyaALLAH.
Wallahu a'alam bissowab.
(intipati nasihat diambil dari sebuah blog buat renungan diri sendiri utamanya)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan