السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

06 September, 2011

MUKASYAFAH & KAROMAH


Terjemahan dari kitab Risalatul Murid ( Petunjuk Jalan Tariqat) - Al Imam Habib Abdullah Alwi Al Haddad

MUKASYAFAH

Diantara perkara-perkara yang boleh membahayakan seorang murid ialah mencita-citakan Mukasyafah (penyingkapan rahasia-rahasia Tuhan) dan mengharapkan kekeramatan serta perkara-perkara diluar kebiasaan adat berlaku atas dirinya. Ingatlah wahai murid, bahwa perkara-perkara serupa ini tidak akan muncul selagi kamu dituntut atau diminta-minta dengan berdasarkan hawa dan nafsu kerana pada kebiasaanya ia tidak akan muncul melainkan pada orang-orang yang membencinya dan tidak menduganya sama sekali.

Keterangan:
Kebanyakkan murid dan salik bercita-cita untuk memperolehi ‘mukasyafah’ iaitu terbukanya rahasia-rahasia Tuhan dan bila terbukanya rahasia ketuhanan maka beralihlah ia untuk mencapai kedudukkan keramat yang mempunyai perkara-perkara diluar kebiasaan adat resam sebagai manusia biasa kerana tercapainya kedudukkan keramat akan membawanya kepada kedudukkan luar biasa, macam ‘superman’. Ingatlah wahai murid dan salik, perkara ini tidak akan datang selagi kamu mencarinya atau meminta-minta dengan berlandaskan hawa nafsu. Kerana pada kebiasaanya keramat ini tidak akan datang melainkan pada orang-orang yang sangat membencinya dan tidak sangka sama sekali bila ia datang. Orang yang benci pada kedudukkan keramat ini adalah semata-mata tidak mahu diganggu oleh manusia lain kerana tumpuan yang selama ini diberikan untuk Allah akan beralih kepada manusia dengan terpaksa melayani fi’il tabiat manusia yang hanya ingin kesenangan dan menolak kesusuhan kerana kebanyakkan manusia sebegini adalah manusia yang buta mata hatinya.

Adakalanya perkara-perkara seumpama keramat dan sebagainya itu berlaku juga pada golongan orang yang tertipu dengan cita-cita untuk mencelakakan dirinya dan sebagai suatu pengujian terhadap kamu Mu’minin yang lemah I’tikadnya. Semua itu tidak boleh dikira sebagai keramat yang benar, malah ia merupakan sebagai suatu penghinaan kepada orang orang yang mendakwa keramat itu. Sebab keramat hanya lahir (ada) pada orang-orang ahli istiqamah, yakni orang-orang yang sudah terkenal lurus dalam perjalanannya.

Keterangan:
Kadang-kadang perkara seperti keramat berlaku juga pada orang yang tertipu dengan angan-angannya. Ini adalah sebagai hukuman dari Allah untuk mencelakakan dirinya dan sebagai pelajaran bagi kaum mu’minin yang lemah keyakinannya terhadap Allah Taala. Sekiranya berlaku juga sesuatu diluar dugaan manusia itu adalah ‘ketetapan hukum yang berlaku pada masa itu’ bukan pada keramat seperti yang didakwa oleh orang yang tertipu dan orang yang ditipu. Keramat hanya akan datang pada orang-orang yang ahli di dalam istiqamah sahaja. Istiqamah di dalam menjalankan ketaatan perintah Allah Taala dan RasulNya. Sangatlah mudah untuk mengetahui seseorang itu menerima anugerah keramat ataupun tidak, lihatlah akan ketaatannya pada perintah Allah dan RasulNya. Maka dengan itu janganlah lekas terperdaya dengan dakwaan seseorang itu keramat atau tidak, lihatlah pada istiqamahnya.

Wahai kamu murid! Sekiranya Allah Taala telah memberikan penghormatan keramat kepada kamu, maka hendaklah kamu mensyukuriNya. Awas, janganlah pula kamu berhenti dari meneruskan amalan kamu lantaran keramat itu telah muncul atas diri kamu. Juga hendaklah kamu tidak bermegah sangat dengan keramat itu, lalu kamu mengantungkan semua harapan ke atasnya. Hendaklah kamu merahsiakan keramat itu dari orang ramai dan jangan membicarakannya dengan mereka.

Keterangan:
Sekiranya ditakdirkan oleh Allah Taala memberikan penghormatan keramat kepada kamu, maka hendaklah kamu mensyukuriNya atas pemberianNya. Tapi ingat! Selagi kamu tidak tahu mensyukuriNya bagaimana mungkin penghormatan keramat akan diberikan? Dan janganlah pula kamu lalai dari meneruskan amalan ketaatan kerana keramat sudah dapat dan kerana telah sibuk melayani manusia . . . Janganlah kamu bertepuk dada lantaran keramat itu dan mengantungkan semua harapan kamu ke atasnya. Kalau perbuatan itu tidak dibuat macam mana orang nak tahu kamu keramat? Rugilah . . . Duit tak masuk . . . Rahasiakan keramat itu dari orang ramai dan jangan membicarakannya kalau kamu tidak mahu disibukkan oleh mereka . . .

Akan tetapi, jika semua itu tidak pernah muncul atau lahir atas diri kamu, meskipun kamu telah banyak beramal dan beribadat, maka janganlah sampai kamu mencita-citakannya dan jangan juga merasa kesal dan dukacita, apabila dengan tiba-tiba ia hilang tidak menjelma lagi.

Keterangan:
Sekiranya keramat itu tidak muncul atau datang atas diri kamu walaupun kamu telah banyak
beramal dan beribadat, janganlah kamu berangan-angan kepadanya dan jangan merasa kesal atau dukacita apabila hilang dengan tiba-tiba atau tidak datang lagi. Kembalikan fikiran kamu kepada ‘kenapa aku berada disini'.


HAKIKAT KERAMAT

Ketahuilah, wahai murid yang budiman, bahwasanya keramat yang merangkum semua jenis keramat, samada keramat yang hakiki (betul), mahupun keramat yang bukan hakiki, yakni rupanya saja kelihatan seperti keramat, tapi yang betulnya bukan keramat; semua itu berasal dari istiqamah (berlaku lurus dalam jalan Allah); iaitu menurut perintah dan menjauhi larangan, lahir dan batin.

Keterangan:
Hakikat keramat semuanya berasal dari istiqamah kepada Allah Taala dan sentiasa berada
pada jalan yang lurus berpandukan Al-Quran dan Sunnah RasulNya...menjunjung tinggi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya, zahir dan batin. Itulah keramat hakiki (yang benar).

Lantaran itu, hendaklah kamu membetulkan istiqamah kamu itu serta memeliharanya dengan baik, kelak semua kaun (alam) langit dan bumi akan terdorong untuk memberikan khidmat kepada kamu, sehingga kamu tidak akan terlindung lagi dari Tuhan kamu dan kamu tidak masyghul (sibuk) lagi dengan selain dari melaksanakan kehendak-kehendakNya.

Keterangan:
Oleh kerana itu hendaklah kamu sentiasa menyelidiki dan membetulkan istiqamah dan memeliharanya dengan baik, semata-mata kerana Allah, BUKAN MENGINGINKAN KERAMAT! Pasti Langit dan Bumi akan memberi khidmat mereka kepada kamu sehingga kamu tidak akan terlindung lagi dari Tuhan, ini adalah perjanjian Allah Taala kepada hambaNya yang menjaga istiqamah mereka. Kamu tidak sibuk lagi dengan selain dari melaksanakan kehendak-kehendakNya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan