السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

14 April, 2016

GANGGUAN ARWAH IBU?

Beberapa minggu lepas, lebih kurang pukul 10:00 malam, ana telah dihubungi oleh seorang pemuda, rakan kepada ex-student ana dari Merapoh, Fauzi. Beliau memohon ana ikhtiarkan merawat kenalan perempuannya yang berkelakuan pelik setelah kematian ibunya. Si perempuan tersebut dikatakan kerap bercakap-cakap kononnya dengan arwah ibunya. Lagaknya seperti orang yang mengalami gangguan jiwa. 

Sedang kami bercakap melalui telefon, kedengaran suara perlahan perempuan tersebut bercakap-cakap dengan arwah ibunya. Setelah beberapa ketika, kakak pemuda tadi pula yang meracau. Mungkin kakak pemuda tu agak lemah semangat. Melihat sesuatu kejadian yang pelik macam tu boleh menyebabkan ketakutan atau panik melampau. Hal macam ni biasa berlaku, terutama dalam kes histeria...berjangkit kata orang.

Pemuda tu minta ana ikhtiarkan dari jauh. Ya, selain dari mendoakan mereka, ana ajarkan pemuda tu suatu kaedah mudah sebagai ikhtiar pemulihan. Kaedahnya;

1) Sediakan sebekas air mineral
2) Bacakan Al-Fatihah 7 kali
3) Ayatul Kursi 7kali
4) Surah Al-Ikhlas & Al-Mu'awizatain masing-masing 3 kali
5) Selawat 11 kali
6) Kemudian tarik nafas dalam-dalam, dengan perlahan-lahan tiup pada air tersebut dengan niat & doa mohon agar Allah s.w.t. menjadikan air tersebut sebagai penawar bagi pesakit.
7) Lalu air tersebut boleh lah dibagi minum, direnjis (boleh juga diisi dalam botol spray), disapu atau juga digunakan untuk mandian jika banyak.

Alhamdulillah, pemuda tu sedia untuk ikhtiar sebagaimana yang ana cadangkan. 

Setelah beberapa ketika, pemuda tersebut hubungi ana kembali. Katanya ikhtiar dia tak berjaya kerana sewaktu nak sapukan air penawar yang dah disediakannya, pesakit melawan...tak mahu disapukan air penawar tersebut. Alhamdulillah tak lama selepas tu, dengan izin Allah s.w.t. datanglah orang tempatan yang membantu dan keadaan pulih. Syukur...

Dalam keadaan ana yang dah 'berehat' ni, ana lebih suka berkongsi ilmu setakat yang ana tau dan pesakit atau mereka yang terdekat lah yang ikhtiarkan sendiri.Bahkan hal yang sedemikian kadang-kadang lebih baik, lebih besar manfaat dan kesannya berbanding dengan orang lain yang ikhtiarkan. Apatah lagi si pendosa dan si jahil macam ana ni...sebenarnya tak layak & tak patut langsung. Semoga diampunkan & dimaafkan segala dosa dan kesalahan ana dan juga tuan puan semua.

01 Februari, 2016

TUTUP BLOG!

Hari ni ana dapat suatu 'message' dari seseorang yang memohon ana menutup blog ana ni. Katanya ada orang yang mendakwa 'posting' ana di blog ana ni mengaibkan beliau. Ye ke?

Dah berkali-kali ana semak balik 'posting' lama ana. Pada ana, takde pun sebarang 'posting' yang mengaibkan seseorang. Apa yang ana tau & ingat, ana hanya berkongsi pengalaman merawat & pengalaman peribadi ana. Takde pun niat nak mengaibkan sesiapa.
Kalaulah ada, ana mohon sesiapa saja yang membaca blog ana ni sila maklumkan kepada ana tajuk 'posting' & tarikhnya. Insyaa Allah, ana bersedia memadamkannya secepat mungkin. Ana pun tau perbuatan mengaibkan orang ni suatu perbuatan yang dimurkai Allah SWT. Jika ada, sungguh ianya bukan disengajakan. Ana mohon berbanyak ampun dan maaf.

Untuk menutup blog ana ni, ana rasa sangat rugi disebabkan banyak pengalaman berharga & bermakna ana tercoret di dalamnya yang pada pandangan ana dapat memanfaati para pembaca...bukan untuk mengaibkan sesiapa.

Wallahu a'alam.

07 Januari, 2016

AWAL TAHUN 2016

السلام عليكم ورحمة اللَه
الحمدللَه ربَ العالمين



Sejak sekian lama menyepi, pada pagi ni ana berkesempatan untuk membuat sedikit coretan di blog ana ni.

Awal tahun 2016 ni bermula dengan baik, tambahan ia berada dalam bulan Rabi'ul Awwal, bulan Maulid Ar-Rasul SAW. Pagi tadi juga diadakan sambutan Maulid Ar-Rasul peringkat sekolah selain dari solat hajat.

Semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya...امين


02 Februari, 2015

TAHUN TERAKHIR?

السلام عليكم ورحمة اللّه وبركاته،

Syukur الحمد للّه di awal tahun 2015 ni, ana masih lagi diberi peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri olehNya. Semoga para pembaca juga demikan hendaknya, آمين...

Setelah sebulan berlalu, diri ini masih terkenangkan peristiwa yang berlaku di malam terakhir tahun 2014 & di awal pagi tahun 2015. Setelah mendapat sedikit ruang & peluang untuk merehatkan diri dari kesibukan sendiri & urusan keluarga serta anak-anak, tetiba jauh di sudut hati terdetik suatu persoalan. Suara hati....

"Syukur الحمد للّه Engkau izinkan ku untuk mengharungi setahun yang penuh dugaan & cabaran sekali lagi Ya Allah... Tapi bagaimana dengan tahun depan? Wahai Fakhruddin, adakah kau akan sekali lagi berjaya mengharungi tahun depan? Atau ianya adalah tahun terakhirmu? Tahun yang mana kamu akan dimatikan, tahun usiamu mencecah waktu tamatnya.... Bukankah sudah banyak tanda-tanda telah dizohirkan padamu? Wahai Fakhruddin jika tahun depan adalah tahun di mana di dalamnya kamu akan dipanggil kembali, sudah siap sedia bekalanmu? Sudah kau taubati segala dosa-dosamu, sudahkah kau mohon kemaafan dari kekhilafanmu...pada Allah, Rasulullah SAW & manusia lainnya? Sudahkah kau tunaikan segala amanah & tanggungjawabmu? Sudahkan kau perbaiki & sempurnakan amalanmu? Ya Allah...Ya Robbi...banyaknya perkara yang masih tak siap, masih tak sempurna, masih tak terbaiki, masih...tak sedia... Sedangkan jika sudah tiba saatnya, kau akan pasti kembali! Bila? Bulan apa? Minggunya...harinya...pagi, petang atau malamnya? Di saat aku sedang berbuat apa? Tidur...dalam kenderaan...di sekolah...di masjid...di kedai? Di mana? Bagaimana akhir hidupku? Sakit jangtungkah...kegagalan buah pinggangkah...kemalangan ngerikah, dibunuhkah? Apa persediaanku...apa persiapanku?...."

Ana mohon beribu ampun dan maaf atas segala kejahatan, kesalahan, kesilapan, ketelanjuran, kelancaran kata & sebagainya yang melayakkan ana menanggung dosa atas perbuatan ana tersebut... Semoga Allah SWT juga mengampuni & memaafkan tuan puan serta menghapuskan segala dosa-dosa kalian...آمين

30 September, 2014

PERTANDINGAN INOVASI PERINGKAT NEGERI KELANTAN

الحمدالله على كل حال....

Sabtu bebaru ni berkesempatan mengiringi pelajar-pelajar SMK Gaal yang menyertai Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Kelantan mewakili PPD Pasir Puteh. Inovasi mereka berkisar tentang penghasilan baja dari penguraian minyak terbuang.

Ana diminta mengambil alih tugas dari Cikgu Hatta yang sekarang ni sedang menunaikan ibadah haji. Peserta terdiri dari 4 orang pelajar lelaki dari tingkatan 3 Utarid.

Walaupun tidak berjaya mendapat 3 tempat teratas, namun pendedahan, penglibatan, penyertaan & pengalaman adalah sesuatu yang sangat-sangat berharga buat mereka.

Semoga di masa akan datang, peserta-peserta akan lebih inovatif & kreatif dalam menghasilkan teknologi yg bermanfaat buat manusia sejagat... آمين

03 Ogos, 2014

'HANTU RAYA'

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته، وبعد

Setelah sekian lama menyepi dari dunia rawatan melibatkan gangguan makhluk halus, pada Hari Raya Aidilfitri bebaru ni ana dihubungi oleh rakan sekolah rendah dahulu, S. R. K. Ismail Putra. Beliau memaklumkan & memohon bantuan dari ana bagi kes anak sulungnya yang berkelakuan aneh & disyaki didampingi makhluk halus.

Antara apa yang diceritakannya adalah keupayaan anak sulungnya itu yang pandai mengurut tanpa belajar, katanya ada 'benda' yang mengajarnya, boleh mengetahui apa yang akan berlaku...boleh meramal masa depan & pandai bersilat.

Apa yang menjadi masalahnya adalah bila anaknya itu tak boleh dengar bacaan Al-Quran... kepanasan, tak boleh ambil wudhu...akan jadi kekejangan & kesejukan luar biasa, tak boleh solat...berdiri untuk solat je boleh menyebabkannya jatuh pengsan, malas & tak suka amalan agama, lari bila ingin dibawa untuk mendapatkan rawatan, boleh berkomunikasi dengan makhluk halus & akan kerasukan serta bertindak agresif bila dirawat.

Jadi pada malam kedua Hari Raya Aidilfitri, ana telah ke rumah ibunya di kawasan belakang istana. Sampai je di sana ana telah disambut oleh sahabat ana & keluarga beliau kecuali anak sulungnya, yang dimaklumkan telah melarikan diri ke rumah mak saudaranya yang berdekatan.

Sambil menunggu bapa saudaranya membawa si anak tu balik ke rumah neneknya, ana sempat bertanya hal & khabarnya kepada keluarganya. Dari apa yang diceritakan, si anak tu baru je di ikhtiar rawat oleh salah seorang bapa saudaranya yang ada sedikit ilmu & pengetahuan ikhtiar merawat. Semasa proses rawatan berlangsung, si anak tersebut katanya telah bangun bersilat & mencabar bapa saudaranya...bukan dia pun, tapi pendamping dia yang marah.

Sebaik si anak tersebut berada di depan ana, duduk di atas sofa, ana mulakan dengan merukyah bahan-bahan rawatan. Semasa sedang merukyah, si anak tersebut kelihatan gelisah...kepanasan & sakit kepala. Sedikit demi sedikit si anak tu mendekati ana sehingga akhirnya dia betul-betul berada di depan ana. Ayah & bapa saudaranya mula bersedia, takut dia bertindak agresif. Lebih-lebih lagi bila terpacul keluar dari mulutnya, "Kuat juga ustaz nih ye...".

Erm...nampaknya pendampingnya cuba menguji & provoke ana. Tapi sebaik ana mula membaca Selawat Tafrijiyyah, si anak tersebut terus 'tumbang' & kerasukan. Ana cuba ikhtiar untuk memisahkan makhluk tu dari si anak tersebut tapi tak diizinkan Allah. Sebaliknya dia dengan bongkak & angkuh melawan secara pasif sambil membaca mantera-mantera dalam bahasa yang tidak ana & keluarganya fahami sambil menghembus-hembus ke arah kami. Mantera yang dibacanya seperti dalam Bahasa Sanskrit, macam dalam cerita Supernatural je bunyinya. Wallahu a'lam.

Memandangkan dah lewat malam, akhirnya ana tangguh rawatan dengan meminta rakan ana tu supaya mandikan anaknya dengan bahan yang telah di rukyah. Si anak atau pendampingnya sebenarnya membebel mengatakan sakit kepala & pangkal lengan kanannya akibat 'bantaian' yang ana buat. 'Cedera' juga dia nampaknya tapi degil.

Erm...pengalaman di malam Raya berdepan dengan 'Hantu yang turut beraya'...

18 April, 2014

KES TERLAMPAU SAYANG

Tengah malam Khamis bebaru ni ada seorang akak berbalas pesanan ringkas menceritakan tentang masalah yang dia hadapi kepada ana. Ringkasnya berkenaan anak angkat perempuannya yang sekarang sedang dilamun cinta dan berhajat untuk berkahwin dengan jejaka pilihannya.

Masalahnya, akak tersebut tak dapat menerima realiti yang dia mungkin bakal berkongsi kasih sayang anak angkatnya itu dengan bakal menantu angkatnya. Beliau melihat bakal menantunya itu seolah-olah pesaing beliau. Beliau menyatakan yang dia sangat menyayagi anak angkatnya itu yang telah dibela semenjak berumur 9 tahun lagi, Darjah 2 dan sekarang dah berumur 22 tahun...hehehe dah boleh mengundi dah. Dia sukar...sangat sukar untuk 'melepaskan' anaknya tu ke 'tangan' orang lain sehingga menganggu emosi, bahkan aktiviti kehidupan seharian beliau.

Pagi tadi, lebih kurang pukul 9:44 am ana telah ke kuarters beliau untuk sesi kaunseling sebenarnya. Dari pengamatan ana, akak tu sekarang rasa sangat tertekan, apatah lagi anak angkat keduanya bakal meninggalkan dia juga untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. Beliau hanya ada dua orang anak angkat tu je...jadi 'kehilangan' mereka dari kehidupan rutin beliau memang memeritkan. Erm...simptom Ignatia nih. Kebetulan remedi homeopati tak bawa pulak... انشاءالله lain kali lah.

Ya, ana faham. Tapi selaku orang tua, anak-anak bukan selamanya akan jadi bebudak, mereka akan membesar, berkahwin & membina kehidupan mereka sendiri juga nanti. Mereka juga ada kehidupan mereka sendiri. Ini suatu realiti pahit yang semua mak bapak perlu terima dengan hati terbuka. Selaku orang tua, sebaiknya kita doakan kebaikan untuk anak-anak kita. Kekadang kita sendiri tak tahu dengan pasti apakah yang terbaik bagi mereka, jadi serah dan mohon kepada Allah SWT agar mengurnikan mereka kebaikan dalam segala tindak tanduk diorang.

Cuma sebagai anak, janganlah pula kita lupa pada orang tua kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Jangan pula kita meminggir atau membelakangkan mereka, apatah lagi membuang mereka dari hidup kita.

Suatu pengajaran & pengalaman di pagi Juma'at yang mulia ini.

11 April, 2014

SILUMAN KERA PUTEH?

Tak silap 2 minggu lepas ana berkesempatan menziarahi Ustaz R sekeluarga di rumah beliau di pinggir bandar Pasir Puteh. Sebelum tu ana telah dihubungi anak perempuan & kemudiannya zaujah beliau sendiri tentang gangguan yang mereka sekeluarga hadapi. Gangguan lazimnya berlaku pada waktu malam dan katakan didalangi oleh Si Kera Puteh!

Si Kera Puteh berkenaan dikatakan 'bermain-main' di atas bumbung & sekitar laman rumah mereka dengan menghasilkan pelbagai bunyi bising. Si Kera Puteh tersebut juga dikatakan selalu menganggu salah seorang anak perempuan Ustaz R utamanya, di samping seorang lagi anak lelaki beliau. Kononnya Si Kera Puteh itu 'berkenankan' anak perempuan Ustaz R tersebut. والله اعلم بالصواب...

Dari apa yang diceritakan oleh zaujah & juga anak Ustaz R, bila saja mereka bacakan Hizib Bahr & Yassin 7 Mubin, Si Kera Puteh berkenaan akan 'mencerit-cerit' seolah-olah terkena suatu pukulan dan kemudiannya bergolek jatuh ke tanah dari atas bumbung rumah mereka. Seorang dari anak perempuan Ustaz R pernah melihat kera tersebut melalui tingkap dapur selepas kedengaran ianya jatuh. Apa yang dilihat adalah seekor kera putih yang kedua tanganya telah kotor, dipercayai akibat jatuh ke tanah. Kera itu kemudiannya hilang ghaib. Erm...misteri juga cerita yang ana dengar. Belum pernah lagi ana mendengar cerita gangguan Siluman Kera Puteh ni.

Ana ada bertanyakan beberapa orang sahabat kot-kot mereka pernah berdepan dengan makhluk camni. Ada sahabat dari seberang yang cadangkan agar ana tangkap je Si Kera Puteh tersebut. Tapi bukannya sesuatunyang mudah, lincah betul makhluk Allah tu. Sahabat ana tu cadangkan ana buat decoy berdasarkan kelemahannya, erm...a hologram of his female species. انشاءالله ana akan cuba nanti.

Ustaz R cadangkan ana hadir ke rumahnya semalam, tapi ana dah balik ke Kota Bharu petang semalam. Erm...kena cari masa lain pula lah. Akhir-akhir ni ana agak kalut. Mungkin malam Isnin ni. Kalau boleh ana nak ke rumah Ustaz R tu masa 'serangan' berlaku, mudahan dapat cara untuk menanganinya... Semoga Allah permudahkan segala urusan ana nanti...آمين.

25 Mac, 2014

SIHIR ASAM GARAM?

Bebaru ni ada member guru dari Sg. Koyan, Lipis message bertanyakan pasal sebungkus bahan yang terdiri dari asam keping & garam buku yang diletakan pada ampaian di belakang rumah ibunya.

Katanya ibunya asyik sakit saja, apatah lagi ibunyalah yang telah ketemu & membuka bungkusan asam garam tersebut.

Jadi ana telah cadang & ajarkan beliau agar 'mematikan' bahan sihir tersebut. Erm...kali pertama ana mendapati kes sihir yang menggunakan asam keping & garam buku...dikatakan ianya suatu kaedah sihir tradisional, واللّٰه اعلم بالصواب. Macam-macam la...

Apa-apa pun semoga Allah SWT memperkenan mengekalkan kesihatan ibu member ana tu...آمين.

22 Mac, 2014

BAHANA TA'ASUB PADA BOMOH

الحمد لله على كل حال...

Setelah agak lama menyepi, petang ni ana diberi sedikit kesempatan sambil melayan karenah anak-anak yang sedang bercuti sekarang ni untuk mencoretkan pengalaman terbaru ana agar menjadi i'tibar bagi diri ini utamanya dan sidang pembaca umumnya.

Pagi semalam, pukul 9 lebih, sebagaimana yang telah dijanjikan, ana telah dikunjungi oleh dua wanita di rumah ibu ana di Merbau, Kota Bharu. Bagi ana sesi pagi semalam lebih kepada sesi mendapatkan gambaran permasalah mereka & juga kaunseling... Erm...kaunseling keluarga & rumahtangga lebih tepatnya.

Kenapa ana berpendapat sedemikian, kerana dari dapatan ana semalam, ianya dikatakan melibatkan sikap dan campurtangan mertua, sikap dan layanan kasar suami terhadap isteri, tekanan mental anak-anak, pengabaian atau salah faham tentang nafkah dan yang paling merisaukan ana adalah keta'asuban keluarga suami terhadap seorang bomoh perempuan yang agak terkenal juga yang tak jauh mana dari kediaman mertua mereka.

Dari apa yang dimaklumkan kepada ana, seolah-olah bomoh perempuan tersebutlah yang mengawal tindak tanduk keluarga tersebut. Apa sahaja yang mereka sekeluarga ingin atau akan lakukan, terlebih dahulu akan dirujuk pada bomoh tersebut bagi mendapat pengesahan, perkhabaran, cadangan atau persyaratan. Kalau hitam kata bomoh, maka hitamlah dan kalau putih kata bomoh maka putih.

Hal yang sama terjadi kononnya bila suami diorang ingin memperisterikan mereka, mertua mereka telah dikatakan merujuk hal tersebut kepada bomoh perempuan berkenaan bagi mendapat komen dan persetujuan sekiranya baik. Apa yang menjadi masalahnya apabila bomoh tersebut mengizinkan, tapi bersyarat. Antara syaratnya, mereka suami isteri MESTI duduk serumah dengan mertua sehinggalah menantu mereka itu BERSIH!

Bila ana tanya apa maksud bomoh tu dengan BERSIH, mereka yang jadi menantu tu pun tak tahu dan tak dibagitahu. Jadi selagi bomoh tu tak istihar si menantu tu sebagai bersih, selagi itulah (dari apa yang mereka berdua ceritakan pada ana) dia akan dilayan dengan buruk sekali. Bila dengar cerita mereka berdua, rasa macam mendengar pengarah dan penulis skrip menceritakan drama yang mereka sedang terlibat dengan pengambarannya.

Dah beberapa minggu dah menunggu diorang hubungi untuk mengambil barangan yang ana dah sediakan. Ana tinggal kat rumah mak ana. Harap-harap tak rosak. Kalu tak hubungi juga, terpaksalah ana proses je bahan tersebut. Tah apa masalahnya, harap takde perkara buruk yang berlaku. Ana sekadar menolong & membantu sekadar terdaya saja.

15 Februari, 2014

SPEAKING ENGLISH!

الحمدللّٰه على كل حال

Setelah sekian lama 'berehat' dari posting apa-apa di blog ana ni, lewat malam ni tergerak pula hati untuk berkongsi pengalaman ana merawat pada petang tadi.

Ya! Ana kembali merawat, tapi bagi kes lama yang sebelum ni pernah ana, bahkan juga sahabat ana Wan Al-Kutani ikhtiarkan bersama. Kes lama yang masih belum selesai.

Sebelum ni ana dan juga Wan hanya merawat dari kejauhan (distance healing) menggunakan kemudahan teknologi ICT, SKYPE voice call. Tetapi rawatan secara jarak jauh ni bagi kami bukanlah suatu kaedah yang baik memandangkan terdapat beberapa kelemahannya berbanding rawatan secara langsung.

Berbalik kepada peristiwa rawatan petang tadi, seperti biasa ana cuba untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dari pesakit. Erm...memang banyak pun permasalahan yang dihidapi. Dari sakit sebelah kanan badan, sakit kepala hinggalah sakit keseluruhan badan.

Setelah sesi tersebut barulah ana mulakan dengan sesi seterusnya, iaitu merukyah air dan pesakit. Baru baca sikit pesakit dah mula mendengus dan kemudian membebel dengan bahasa yang langsung tak difahami. Ana teruskan je dengan bacaan rukyah hingga selesai...الحمدللّٰه tiada apa-apa yang tak diingini berlaku. Hanya sekadar kerasukkan ringan yang kemudiannya pesakit pulih dan sedar.

Ana kemudiannya meminta adik pesakit memberikan air penawar kepada pesakit untuk diminum. Sebaik sahaja pesakit tersebut minum, Dia kembali kerasukkan, mengelumpur kesakitan sambil memegang lehernya. Makhluk yang menganggu mengamuk marah dan cuba menyerang ana, lalu ana 'mengunci' diri. Ia kemudiannya menyerang si adik yang berada di sebelah kanannya. Lalu si adik yang berbadan besar tersebut me'ngerjung' pesakit yang kerasukkan tersebut. Pergelutan berlaku antara mereka berdua yang kemudiannya berjaya ana redakan dengan izin Allah. Syukurlah tak melarat dan berpanjangan.

Kemudian makhluk Allah tersebut mula menyumpah seranah dengan bahasa yang kami tak fahami. Akhirnya terpancul perkataan dalam bahasa Inggeris. Erm...cakap Inggeris la pulak makhluk Allah tu. Jadi tadi merupakan sesi rawatan pertama sepanjang ana menceburkan diri dalam dunia perubatan Islam memaksa ana berkomunikasi dengan makhluk Allah yang menganggu pesakit menggunakan bahasa Inggeris.

Bila ana ikhtiar tarik dia keluar, dia sound ana, "You're not strong enough...! She's mine. No more talking." Ana cuba tarik keluar, tapi tak berjaya. Dia kata dia diikat oleh 'tuan'nya di dalam jasad pesakit. Ana cuba buka ikatan yang ada, tapi dia sound ana lagi, "It useless...you're not strong enough." Bila ana balas, "I'll try my best' I'll not going to give up easily", dia pun balas balik, "Then try if you can...".

Ana ikhtiar setakat yang termampu & setakat yang diizinkan Allah SWT. Namun tak berjaya. Kepada Allah jua diserahkan segala urusan. Semoga ada hikmah dan kebaikkannya. Ana minta si adik tadi untuk ikhtiarkan dengan kaedah mandian selama seminggu, kemudian baru buat rawatan susulan. Selain tu ana bagi sedikit amalan untuk pesakit amalkan, mudahan Allah permudah segala urusan dan mengurniakan kesembuhan kepadanya nanti...آمين

26 Disember, 2013

TEMUJANJI RAWATAN DI MACHANG

الحمدلله علي كل حال...
Setelah sekian lama terabai, dikelapangan ini terdetik untuk kembali berkongsi sedikit kisah pengalaman ana yang berdepan dengan kes-kes melibatkan pelbagai jenis penyakit, terutamanya yang selalunya diberikan persepsi awal sebagai gangguan jin.

Isnin baru ni ana dihubungi oleh bekas jiran ana semasa di Merapoh, Abe Din@. Lama tak jumpa & mendengar khabar beliau sekeluarga.

Ringkas cerita, Abe Din menyampaikan hajat seorang guru di tempat beliau bertugas. Kalu ikutkan rasa tak nak dah buat kerja-kerja nih, tapi memandangkan Abe Din bersungguh-sungguh, tak sanpai hati pulak nak menolak. Isteri kepada guru tersebut mengalami masalah seumpama Chronic Fatigue Syndrome. Selalu sakit kepala, berdebar-debar, sukar tidur, tak lalu makan, tubuh badan kesejukan terutama extremities, kaki & tangan.

Sebagaimana dijanjikan, ana diiringi oleh Abe Din telah ke rumah pesakit. Ana melakukan prosedur rawatan seperti biasa & secara peribadinya ana tak nampak pun yang pesakit ada masalah gangguan jin. Pada ana, permasalahnya lebih kepada kitaran darah. Ana cuba bagi penjelasan setakat yang ana tau. Wallahu a'alam. Nampaknya mereka sekeluarga dapat menerima dengan hati terbuka, الحمدلله.

Buka sekolah ni diorang nak ubat. Maklumlah ana tak bawa apa-apa hari tu...dah agak lama dah berhenti merawat.

Erm...semalam, ana pulak yang sakit. Demam...harap-harap bukan Denggi.

20 Jun, 2013

JADI ARTIS DOH LA KALI NIH...

Semalam ana telah 'terpilih'...hehehe, terpilih tu...untuk menghadiri Kursus Pegedogi Mata Pelajaran Pendidikan Seni Visual bagi Guru-guru Bukan Opsyen, Daerah Pasir Puteh di SMK Sungai Petai. Kursus ini adalah cetusan dari Ikatan Guru-guru PSV Daerah Pasir Puteh, sebuah persatuan yang aktif yang mendapat sokongan penuh dari Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh.

Kursus yang dijalankan semalam telah banyak membantu ana yang jahil tentang PSV ni menambah ilmu & kemahiran tentang PSV dan diharap dapat membantu ana dalam pengajaran di sekolah nanti. Ana diamanahkan mengajar mata pelajaran PSV tingkatan 2 bagi 2 tingkatan. Memang agak mencabar walaupun ana dah biasa dengan lukisan & melukis, kerana PSV tak sama dengan Lukisan Kejuruteraan yang selama ini ana mengajar.

Apa yang dikursuskan semalam mencangkupi elemen lukisan, catan, arca dan cetakan. Banyak ilmu-ilmu baru yang ana dapat & insyaa Allah akan dikongsikan bersama pelajar nanti.

16 Jun, 2013

KENALI UBAT ANDA: UBAT GOUT

Colchicine digunakan untuk mencegah serangan gout (secara tiba-tiba, sakit teruk pada satu atau lebih sendi disebabkan oleh tahap asid urik dalam darah) di kalangan orang dewasa dan untuk melegakan kesakitan serangan gout apabila ia berlaku.

Colchicine juga digunakan untuk merawat demam Mediterranean keluarga (FMF; keadaan semula jadi yang menyebabkan demam, sakit dan bengkak pada kawasan perut, paru-paru dan sendi) di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak 4 tahun ke atas.

Colchicine tidak melegakan kesakitan dan tidak boleh digunakan untuk merawat sakit yang tidak disebabkan oleh gout atau FMF.

Colchicine adalah dalam kelas ubat-ubatan yang dikenali sebagai agen anti-gout. Ia berfungsi dengan menghentikan proses semulajadi yang menyebabkan bengkak dan lain-lain gejala gout dan FMF.

05 Jun, 2013

MAJLIS SAMBUTAN HOL SIDI AHMAD IBN IDRIS, PENGASAS TAREQAH AL AHMADIYYAH AL IDRISIYYAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh,

Dengan segala hormat dan takzimnya kami menjemput Tuan Guru/Syeikh/Ustaz/Ustazah/Asatizah/Para Ikhwan/Muslimin dan Muslimat untuk menghadiri Majlis Sambutan Hol Sidi Ahmad Ibni Idris. Pengasas kepada Tareqah Ahmadiah Idrissiah yang wafat pada 21hb Rajab 1353 Hijrah.

Sehubungan dengan memperingati tarikh pemergian Sidi Ahmad Idris, Pihak Surau Haji Awang Alim mengalukan kehadiran semua ke majlis ini yang akan diadakan pada hari Khamis, 6hb Jun 2013 bersamaan dengan 27 Rajab 2013 jam 7.00-10.00 malam.

Antara aturcara majlis adalah pembacaan manakib Sidi Ahmad Ibni Idris, majlis zikir dan juga majlis maulid dan jamuan makan.Semoga kehadiran Tuan/Puan dirahmati Allah SWT dan dikurniakan keberkahan kerana hadir ke majlis zikir, iaitu taman-taman syurga di dunia ini. Semua Muslimin dan Muslimat di jemput hadir.

26 Mei, 2013

ANA? PEMERHATI JE...

Jumaat baru ni, Azizi, otai Tapak Suci call & message ana. Katanya anak saudaranya yang ana rawat kembali bermasalah. Kali ni dia menjadi emosionally sensitive, pantang silap sikit, terus mengamuk sampai tahap melontarkan barangan kat orang yang dia tak puas hati. Sebelum ni mangsa merupakan seorang ahli keluarga yang ceria dan ramah. Semenjak 'terkena' bebaru ni, dia dah berubah perangai, jadi pendiam, pemarah dan suka menyendiri berkurung di dalam biliknya.

Ana agak keberatan untuk merawat beliau kerana masalah peribadi ana dan juga ibu ana yang baru je keluar hospital. Kebetulan Auni, anak saudara ana yang sebelum ni menjaga nenek dia dah kembali semula masuk ke universitinya malam Sabtu baru ni. Jadi ana lah yang menyambung tugas menguruskan makan-minum ibu ana. Ibu ana memerlukan makanan yang lembut dan mudah hadam, memandangkan keadaan ulcer yang belum pulih sepenuhnya.

Namun memandangkan sahabat ana & iparnya yang begitu berharap sangat, jadi ana telah ikhtiarkan untuk membantu. Ana teringatkan Abang Saiful Hazmi di Kampung Seneng, Bachok....erm tak jauh dah tu. Jadi ana telah hubungi beliau memohon bantuan dan kesudian beliau untuk merawat pesakit berkenaan.

Alhamdulillah wa syukrulillah, semalam setelah balik dari kenduri anak sepupu di Jerteh, Abang Saiful sudi meluangkan waktunya yang sangat-sangat berharga tersebut untuk bersama-sama ana ke rumah pesakit di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Jelawat. Perancangan awalnya lepas asar, tapi kerana menunaikan juga hajat ibu ana...ana ke Jerteh dulu, jadi maghrib baru sampai ke pekan Jelawat, Bachok. Setelah solat maghrib di Masjid Jelawat, ana terus ke rumah Abang Saiful. Alhamdulillah...walau pertama kali dan dalam gelap malam ke rumah Abang Saiful di Kg. Seneng, ana dipermudahkan menemui rumah beliau di sana.

Kami kemudiannya bertolak ke rumah pesakit. Sesampai di sana, Azizi sekeluarga menyambut kami dengan ramah sekali dan kami seterusnya ke rumah pesakit yang lokasinya setentang dengan rumah mertua Azizi. Berjumpa dengan keluaga pesakit dan pesakit sendiri, erm...nampaknya tiada apa yang serius.

Seperti yang diminta dan dirancang oleh Abang Saiful, beliau kemudiannya merukyah tiga biji kelapa muda, kismis, kurma, air dan pesakit itu sendiri yang duduk bersila di hadapan beliau. Manakala ana pula ditugaskan merukyah garam untuk mandian & makan. Sesi seterusnya diikuti dengan sedikit tausiah/tazkirah dari Abang Saiful kepada pesakit dan keluarga. Syukur...dwngan ana sendiri pun mendapat banyak ilmu dari tausiah Abang Saiful. Hehe...inilah kelebihan menjadi pemerhati bila otai merawat. Banyak yang dapat dipelajari. Jazakallahu khairan katsiiro atas pengalaman semalam Abang Saiful. Semoga ada lagi peluang lainnya...aamiin...

# Pagi tadi baca sms dari ayah pesakit, alhamdulillah nampaknya baik-baik aje...

21 Mei, 2013

PENDARAHAN PERUT/USUS

Hampir pukul 2 petang semalam, semasa tengah sibuk memindahkan dokumen-dokumen penting kepada Cikgu Rabaina untuk dipersembahkan & dibentangkan pada hari ini sempena lawatan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan & Lembaga Peperiksaan di sekolah kami, kakak ana dari Kota Bharu call bagitau yang mak kami muntah & berak berdarah. Allahu Robbi...nampaknya masalah kesihatan mak ana semakin serius.

Adik ana kemudiannya telah membawa mak kami ke unit kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II & hasil pemeriksaan awal, doktor mengatakan kemungkinan besar pendarahan minor di dalam perut/usus. Jadi hampir waku maghrib semalam mak kami dimasukkan ke dalam wad, Wad Puteri untuk persediaan pemeriksaan lanjutan pagi ni. Doktor katan nak dimasukkan scope untuk melihat sejauh mana luka & pendarahan yang berlaku.

Semalam Auni, anak akak ana yanb menemani neneknya. Insyaa Allah kejap lagi ana pula akan pergi.

Kepada sahabat sekerja, ana mohon maaf bebanyak kerana tak dapat bersama-sama dalam program besar sekolah hari ni. Ana tau semua agak kelam kabut, dari semalam lagi.

14 Mei, 2013

MID YEAR EXAM

Minggu ni semua pelajar menengah atas sedang menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Ana mengajar tingkatan 3, Bahasa Inggeris & 4, Lukisan Kejuruteraan.

Erm...sekarang ni sedang dok kemas kini dokumen PBS untuk mata pelajaran PSV & BI bagi tingkatan 1 & 2. Erm....lama dah tak ngajar menengah rendah, pulak tu sekarang ni guna sistem PBS. Hehehe...kalut & pening sikit. Semalam ada discuss ngan cikgu senior kat sini...erm...mudah la pulak dia buat. Katanya "Buat je...tak payah sampai pening-pening kepala. Buat payah jadi payah, buat mudah jadi mudah."

Tengah dok kemas kini dokumen nak bagi mudah kerja la ni. Erm...rasa lagi trbeban adalah...mungkin kerana masih belum tau kaedah yang mudah untuk melaksanakan sistem PBS ni.

12 Mei, 2013

In-House Training: Habits of Mind

Last Wednesday, I was asked to give an in-house training on one of the Habit of Mind, questioning & posing problems to technical & language teachers of SMK Gaal. Erm...nothing much, but took me a while to find the related information & sources & also to prepared the slides. The training was about one & a haf hours. Alhamdulillah...it went well & the respond fom the teachers were good. Thank you teachers...

Next week, once again I was asked to give a training on another habits. Hopefully, it gonna be better then the previous that I held.

10 Mei, 2013

MELAWAN!

5 Mei yang lepas, di hari di mana sebahagian rakyat Malaysia telah usai melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara, ana mendapat panggilan dari sahabat seperguruan. Beliau memohon bantuan ana bagi merawat anak saudaranya di Gunong, Bachok kerana disyaki masalah gangguan jin. Ana pada mulanya keberatan juga sebab keesokkan harinya dah mula persekolahan, jadi ana ingin balik ke Pasir Puteh. Jika diikutkan banyak perkara yang ana kena langsaikan sebelum ana & anak-anak bertolak balik.

Namun untuk tidak menghampakan sahabat ana & keluarga pesakit yang begitu mengharapkan kedatangan ana, ana telah bersetuju untuk diambil & dibawa ke sana pada pukul 6:30 petang tu. Kami sampai ke rumah pesakit sedang elok waktu maghrib. Jadi kami semua mengerjakan solat dulu sebelum melihat kepada masalah pesakit.

Usai solat, kelihatan pesakit cukup lemah. Mungkin banyak kehilangan tenaga sebelumnya. Keluarga pesakit memaklumkan yang pesakit telah pun dirawat oleh Pakcik Yassin Gunong, tapi jadi balik. Erm...nampaknya boleh tahan gangguan yang pesakit ni hadapi. Pakcik Yassin ni salah seorang dari orang lama Tapak Suci...guru di gelanggang Gunong, Bachok.

Ana ikhtiarkan dengan menyediakan air untuk minum & basahkan badan pesakit, nak wat mandi tak cukup...lagipun air penawar yang Pakcik Yassin buat sebelumnya ada lagi. Jadi boleh je guna yang tu.

Kemudiannya ana rukyah pesakit dengan membaca huruf-huruf mukothooah. Setelah beberapa ketika pesakit longlai & kerasukkan. Benda yang menguasai pesakit menepis-nepis tangan ana yang ana cucukkan pada tengah kepala pesakit sambil menjeling tajam penuh kemarahan. Ana suruh makhluk tu keluar, tapi dia menggelengkan kepalanya sambil mula bertindak aggresif. Dia bangun dan cuba lari ke arah pintu utama untuk keluar dari rumah, tapi keluarga pesakit bertindak pantas, memeluk & menjatuhkannya kembali ke lantai sambil dipegang erat tubuhnya. Pesakit meronta-ronta marah...

Dalam keadaan kalut begitu, ana menyembelih makhluk tu, tapi tak berkesan. Ana cuba pula menariknya keluar melalui kaki, juga tak keluar. Akhirnya ana tarik melalui kepala, alhamdulillah...pesakit kemudiannya sedar walau keadaannya tersangat lemah sehinggakan nak mengucap pun sukar & sangat perlahan suaranya. Ana minta pesakit memperbanyakkan membaca selawat.

Setelah seketika, keluarga pesakit membawanya ke bilik mandi & memandikannya. Ana pun kemudiannya memohon untuk balik kerana jam pun dah menunjukkan pukul 10:00 malam. Ana ni jauh lagi perjalanannya. Kena balik dulu ke Kota Bharu sebelum berpatah pula ke Pasir Puteh. Alhamdulillah lebih kurang pukul 1:00 pagi kami anak beranak sampai ke kuarters.