السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

13 Februari, 2012

APAKAH ITU TAPAK SUCI?

Alhamdulillah di kesempatan ini suka ana kongsikan sedikit pandangan tentang keilmuan Tapak Suci yang kerap diajukan kepada ana, sama ada yang berminat untuk mengetahui, mengkaji mahupun untuk belajar. Sebenarnya ana bukanlah seorang yang ahli, jauh sekali layak untuk memperkatakan semua ini. Namun atas dasar perkongsian ilmu yang ana ada dan tahu sekadarnya, dengan harapan nanti Allah s.w.t. akan mengurniakan pula kepada ana akan ilmu-ilmu yang masih belum ana ketahui...maka ana gagahi juga untuk mencoret sedikit cacatan yang mudahan memanfaati mereka yang berhajatkannya. Walaa haula wala quwwata illa billahi.


Adapun kemudian dari itu,


Keilmuan Tapak Suci adalah merupakan salah satu daripada cabangan ilmu Islam yang dikategorikan sebagai ilmu hikmah1. Ia berlandaskan kepada aqidah Islam yang sohih, syariat yang disepakati oleh jumhur ulama’ dan amalan tasawwuf yang haq sebagaimana pegangan golongan ahlul sunnah wal jaama’ah.

Keilmuannya terdiri daripada amalan kerohanian dan juga riadhoh2 fizikal yang mana menjurus lebih kepada beladiri dan juga perubatan, zohir mahupun bathin.

Adapun amalan asas kerohanian Tapak Suci terdiri daripada susunan ayat-ayat suci Al-Quranul Kariim, selawat, zikir-zikir Nabawiyyah, asmaullah dan doa-doa tertentu yang antaranya bertawassul dan bertabarok3 kepada kemuliaan, rahmat, ni’mat, hikmah dan keilmuan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada auliaNya, khususnya Wali Songo atau Wali Sembilan yang terkenal dengan usaha gigih mereka menda’awah, membawa dan menyebarkan agama Islam di Tanah Jawa pada suatu masa dahulu. Susunan amalan kerohanian ini diajar dan dijadikan sebagai  wazifah4 kepada ahli agar ia menjadi asbab yang dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t., menyucikan nafsu buruk mereka, menghidupkan hati mereka dan menguatkan roh mereka lalu dengannya memghasilkan suatu kekuatan rohaniyyah yang mampu membenteng diri mereka dari anasir negatif, zohir mahupun bathin serta menjana pembentukan akhlaq dan peribadi yang baik dan mulia.

Mendemonstrasikan jurus
Empat Kilas kepada sahabat
ana Ustaz Wan Al Kutangi
semasa beliau menziarah ana
di teratak ana di Merapoh
baru-baru ni.
Manakala riadhoh fizikal pula adalah terdiri daripada olahan nafas dan juga olahan gerak yang disusun dalam suatu gerakan yang dipanggil atau dikenali dengan gerak Jurus5 Bathin Tapak Suci. Ia terdiri daripada sepuluh gerakan jurus asas. Setiap gerakan jurus mempunyai fungsi dan hikmahnya yang tertentu yang mana boleh dimanipulasikan oleh pelatihnya bagi kegunaan beladiri mahupun perubatan. Gerak jurus ini diriadhohkan dengan tujuan bagi membangkitkan dan menguatkan tenaga dalam pengamalnya ke suatu tahap yang mana dia mampu memanipulasikannya untuk pelbagai tujuan dengan izin Allah s.w.t. Tenaga dalam yang kuat akan memberikan suatu kekuatan jasmaniyyah kepada pengamalnya.

Maka dengan kesepaduan kekuatan rohani dan jasmani yang dinyatakan di atas, adalah diharapkan agar pengamal keilmuan Tapak Suci ini akan menjadi seorang hamba Allah s.w.t. yang pada setiap masa mengabdikan diri mereka kepadaNya dengan sebaik mungkin sebagai tanda syukur di atas limpah kurniaNya, meninggikan syiarNya, mempertahankan kedaulatan agamaNya, menda’awah dan memperjuangkan agamaNya dan juga dapat meluangkan masa menabur bakti kepada keluarga dan masyarakat dengan matlamat menjadikan mereka juga sebagai hamba-hamba Allah s.w.t. yang mengabdikan diri dan berbakti kepada Tuhan mereka.

Wallahu a’alam bissowaab.


_______________________________________________________________


1 ilmu hikmah - suatu amalan kerohanian yang terdiri daripada ayat-ayat Al Quran, doa-doa tertentu, hizib atau jampi-jampi yang diharuskan syara’ sama ada dalam bahasa Arab atau selainnya dan diimbangi dengan adab-adab bathin untuk mendekatkan diri pengamalnya kepada Allah s.w.t. dan membersihkan jiwa dari berbagai penyakit hati. Ilmu hikmah boleh dalam bentuk amalan berupa zikir, tabarrok, bertafakur, membersihkan hati, bersikap bijaksana atau riadhoh tertentu sesuai ajaran para guru atau ulama’

2 riadhoh - latihan, senaman

3 bertawassul dan bertabarok – memohon sesuatu hajat dari Allah s.w.t. dengan keberkatan Mursalin, Anbiyaa’, auliaa’, solehin, syuhada’, kalamullah, asmaaullah, perkara-perkara dan benda-benda yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.

4 wazifah - tugasan harian, amalan harian

5 Jurus – buah pukulan yang lazim diguna pakai dalam ilmu beladiri

1 ulasan:

  1. Masyaa AllaaH wa tabaarokallaaH... JazaakallaaHu khairan katsiiraa. Syukran di atas penerangan Ustaz. AlhamdulillaaH.

    BalasPadam