السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

27 September, 2010

NAK BELAJAR TAPAK SUCI?




Semenjak ana bercerita tentang pengalaman ana dalam Tapak Suci, ada beberapa orang mula bertanyakan ana tentang Tapak Suci & ada juga yang ingin mempelajarinya. Sebagaimana yang ana telah nyatakan, ana tidaklah tahu sangat tentang PSS Tapak Suci ni melainkan hanya sekadarnya sahaja. Selebihnya hanya pengalaman peribadi ana sendiri.


Secara terus terangnya, semenjak ana ditauliahkan sebagai guru dalam PSS Tapak Suci ni, ana hanya baru ada seorang murid (tu pun sebab Abang Aziz yang suruh ana terima sebab pada masa tu Abang Azizi sibuk dengan urusannya yang tidak memungkinkan dia untuk menerima sendiri murid tersebut).




Kenapa? Kenapa tak bukak gelanggang macam Cikgu Wan Zil Aman bukak kat Kampung Petola? Satu soalan yang biasa ditanya. Antara jawapannya, pertama tanggungjawab untuk mendidik seorang murid sehingga ke suatu tahap yang dia sudah mula boleh berdikari sangat besar & bukannya sesuatu yang boleh dibuat main, jadi ana sedar yang ana setakat ni tak mampu memberikan komitment sepenuhnya sebagai seorang guru (Maafkan ana Wan...maafkan ana tak dapat memberikan bimbingan yang sebaiknya).

Keduanya, keilmuan pada seseorang yang ingin menjadi guru perlulah mencukupi (dan sedaya upaya diamalkan), agar apa yang disampaikan kepada muridnya dapat menjadi pedoman & pengajaran serta dapat membentuk keperibadian diri murid yang luhur dan murni selaras dengan tuntutan Islam yang mana ana sekarang ni pun masih lagi terasa kekurangannya dan masih lagi mencari. Keilmuan yang ana maksudkan bukanlah hanya tertumpu pada ilmu persilatan & ilmu hikmah sahaja, bahkan juga aqidah, fiqh, tasawuf, adab, hadith, tafsir & seumpamanya lagi (tu yang besungguh nak balik Kelantan tu...kat sana peluang untuk mempelajari semua ni sangat banyak berbanding di sini).

Ketiganya, ana sendiri kurang mahir tentang selok-belok persilatan (walaupun dalam Tapak Suci sebenarnya lebih dari itu, kalau mahu mencari gali keilmuan & rahsianya) kerana semasa ana belajar dulu ana hanya mendapat bimbingan secara tersusun sekejap je...kebanyakkannya latihan sendiri yang tidak terpandu. Ana menyedari perkara ini bila ana mengikuti satu persilatan lain, iaitu Silat Karomah. Melalui Silat Karomah, banyak rahsia dalam persilatan dinyatakan oleh gurunya, yang secara tak langsung juga membukak rahsia dalam persilatan Tapak Suci (walaupun ana sendiri tak sempat menguasai sebahagian besar darinya). Perkara ini mungkin sudah diketahui oleh orang-orang lama dalam PSS Tapak Suci, tapi bagi ana yang masih baru ni (setelah lama meninggalkannya)...ianya merupakan sesuatu keilmuan yang baru yang Allah s.w.t. telah dedahkan kepada ana...alhamdulillahi ‘ala kulli hal.

Seterusnya, konsep yang ana bawa sekarang agak berbeza dari dulu. Kenapa ana katakan demikian? Adakah ana cuba mengubah Tapak Suci yang asal? Apa buruknya atau kurangnya Tapak Suci yang asal? Suatu perkara yang agak kontoroversi untuk dibincangkan sekiranya sikap berlapang dada & terbuka minda tidak diamalkan. Suka ana jelaskan di sini, ana bukannya mengubah apa yang ada dalam Tapak Suci yang asal, tapi cuma memperkemaskan dari sedikit keilmuan yang Allah s.w.t. telah kurniakan & juga hasil dari pengalaman sendiri & mereka yang pernah terlibat dengannya, sama ada mereka sedar atau tidak....atau mahu terima atau tidak. Hakikatnya itulah yang telah berlaku & terjadi. Mungkin juga semasa ana belajar dulu, perkara ini tidak dijelaskan pada ana kerana pelbagai sebab. Wallahu a’lam bissowab.

Konsep pertama yang suka ana kongsikan di sini adalah niat belajar yang betul. Ini kerana setiap amal perbuatan dinilai pada niatnya. Sekiranya kita belajar silat dengan niat nak menjadi hebat, nak jadi kuat, nak bermegah-megah, maka dengan ilmu persilatan yang kita belajar, ianya akan merosakkan diri kita nanti. Bukan itu sahaja, niat yang selain dari mencari keredhaan Allah ini juga lazimnya akan mengundang “pendamping” atau “khodam”. Mereka ini sangat suka mengambil kesempatan ke atas orang yang beramal dengan mengharapkan kelebihan keduniaan untuk manfaat keduniaan sahaja. Mereka biasanya akan menyesatkan & merosakkan diri pengamal yang sebegini. Na’uzubillahi min zaalik. Bahkan dalam bab niat yang terpesong ini, bukan sahaja dalam persilatan, bahkan dalam lain-lain amalan pun. Sekiranya tiada keikhlasan...maka rosaklah amalan tersebut walaupun pada asalnya amalan itu adalah amalan yang baik, contohnya membaca Al-Quran atau solat sunnat, tapi kerana ujub, nak bermegah-megah, nak orang katakan sebagai alim, baik & seumpamanya, maka rosaklah amalan tersebut walau pada asalnya ianya baik. Inilah kerja halus syaitan la’natullah. Ingat! Perkara baik boleh jadi rosak dengan sebab niat yang salah.

Konsep keduanya, amalan dalam Tapak Suci adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., membersihkan hati & mengekang hawa nafsu...bukannya untuk menjadi hebat dalam silat. Sebab yang hebat, kuat, gagah, sakti pada hakikatnya hanyalah Allah s.w.t. Sebagai seorang mu’min yang sejati, kita diminta agar menyandarkan diri kita, mengharap pertolongan & perlindungan serta memohon hajat kita hanya pada Allah s.w.t. sahaja. Bila kita dekat dengan Allah, hati pula bersih dari kekotoran syirik & dosa, ditambah lagi dengan nafsu yang terkawal yang kemudiannya Dia kasih pada kita...maka insyallah doa kita nanti tidak akan Dia sia-siakan. Bila kita berdoa & memohon, insyallah Dia akan tunaikan mengikut apa yang dirasakan oleh Allah s.w.t. patut & selayaknya kita terima, kerana Dia Maha Mengetahui segala keperluan & hajat kita. Bukankah dalam Tapak Suci ada banyak doa-doanya atau dimulai dengan doa & antara doa yang masyhur Doa Nurun Nubuwwah? Jadi jangan hairan bila kita lihat seseorang yang sudah lama beramal, tapi masih selesa bergelumang dengan dosa, masih malas mempelajari ilmu & menambahkan ilmunya terutama ilmu-ilmu agama, masih leka dalam ibadahnya, masih buruk adab & kelakuannya, masih buruk lisannya, masih rosak & buruk akhlaqnya dan seumpamanya. Ini kerana amalnya itu tidak mampu membentuk keperibadian yang luhur & murni selaras dengan kehendak Islam yang diajar & dibawa oleh Baginda Rasulillahi s.a.w. Kenapa ini boleh terjadi? Kerana amalan yang dilakukan bukan kerana mencari keredhaan Allah s.w.t....amalan yang dilakukan dengan niat untuk mendapatkan kelebihan dunia. Maka amalan sedemikian menjadi istidraj bagi pengamalnya, iaitu pengamalnya mendapat pelbagai kelebihan dari Allah s.w.t. tetapi dalam masa yang sama mereka semakin jauh dari Allah s.w.t. Adakah ini apa yang kita cari & kehendaki dalam kehidupan yang sementara ini? Na’uzubillahi min zaalik.

Konsep ketiganya, persilatan sebagai salah satu medium da’awah, iaitu dengan menjadikan silat sebagai tarikan kepada pemuda utamanya untuk kemudiannya mendekatkan diri dengan amalan serta keilmuan Islam. Perkara ni dijalankan dengan penuh hikmah & berperingkat-peringkat. Mudahan nanti akan lahir pesilat yang berkeperibadian luhur & murni selaras dengan kehendak Islam, bukannya pesilat yang sombong & angkuh dengan keperibadian & akhlaq yang buruk.

Ana berharap bagi sesiapa yang ingin belajar dapat memahami konsep niat & beramal agar kita tidak terpesong & tersesat dalam cahaya nanti, insyallah. Rasanya setakat ini dulu perkongsian ana sekadar batas ilmu yang ana miliki dengan izinNya...segala silap & salah harap dimaafkan. Yang bermanfaat, ambil & amalkanlah...yang buruk, jadikan pengajaran & teladan.

Wallahu a’lam bissowab.

8 ulasan:

  1. salam ustaz
    akak pun dulu pernah mengambil amalan TS ini. sebenarnya bukan belajar silat pun tapi amalan wirid dan doa sbb masa tu tok wan berdua (arwah) sibuk suruh ambil untuk menjaga diri krn akak tinggal di KL. akak buat juga amalan itu untuk seketika tp sbb was-was dengan amalan doa maka lama2 tinggalkan terus. masa tu beramal bukannya utk mencari keredhaan Allah. Alhamdulillah. dah tak amal lagi.

    BalasPadam
  2. Alaikissalam Kak Bintang,

    Akak Bintang ni kira otai la ni. Gini Kak...amalan TS tu takde salahnya....yang salah tu pengamalnya, bila niat tidak lagi kerana Allah s.w.t. Bila niat dah terpesong...amalan yang baik pun akan rosak & jadi buruk natijahnya.

    Sekiranya Akak Bintang boleh murnikan kembali niat....maka tak salah untuk teruskan kembali amalan TS tu. Insyallah khair (ada kebaikannya).

    Amalan TS tu sebenarnya antara amalan asas yang biasa dianjurkan oleh ulama'2 dahulu untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

    Wallahu a'alam.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum... baru ada kesempatan untuk menjenguk blog tuan...

    Jelas dan ditil betul penerangan tuan tentang ilmu silat kebatinan ini khususnya Tapak Suci.

    Tidak ada apa-apa yang salah pun dalam Tapak Suci. Bermula dari amalannya (wiridnya) dan cara bersilatnya.

    Amalan wiridnya pun lebih kurang sama sahaja dengan wirid selepas solat. Kemudian meminta kepada Allah Taala iaitu berdoa dan berzikir. Berzikir pula ialah mengingati Allah sahaja. Doa dimakbulkan kerana kekuatan doa dan zikir, bukanya ada unsur-unsur yang lain.

    Begitu juga ketika bersilat. Para pesilat tidak akan lekang dari berdoa dan berzikir kepada Allah sepanjang masa.

    Matlamat sebenarnya bukan bersilat tapi membersihkan jiwa dan hati supaya dapat menuju dan sampai kepada Allah Taala.

    Terima kasih kerana telah memberikan komen kepada blog saya tempohari yang bertajuk Seni Bela Diri Jurus Batin Tapak Suci

    Saya sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyambung penulisan saya tentang silat. Semoga diberi petunjuk dan gerak oleh Allah.

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum..tumpang tanya..dekat mana saya boleh belajar silat ini?

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum, tuan tahu tentang silat gayong maarifat?apa pandangan tuan tentang silat gayong marifat?

    BalasPadam
  6. Adakah anda pernah ditolak oleh bank kerana skor kredit yang rendah? Jangan bimbang, anda mempunyai pilihan! pinjaman SOS mungkin tidak menghubungkan anda dengan pemberi pinjaman swasta yang boleh membantu anda mencapai matlamat anda.
    - GOOD KREDIT ATAU KREDIT BAD NO PROBLEM!
    - TRAIN PINJAMAN
    - Pinjaman Peribadi
    - Memupuk asalnya KREDIT ANDA
    - Memberi penekanan yang HUTANG ANDA
    Dapatkan wang anda dalam tempoh 5 hari!
    Ada sebarang pertanyaan lanjut, sila e-mel kepada kami di joycerolandloancompany@gmail.com

    BalasPadam
  7. begitulahkiranyadalampersilatan.skrgniadalagikekelasajarantapaksucibidikelantannakpergihoinlahdimanayermasamudadulupernahmasukjg.tsnidikgbaru.klumpur.bljr3bulanjeskrgnakajakadiksendiriygmasukskrgbiwassalam

    BalasPadam