السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

20 September, 2010

MAJLIS ZIKIR BERSAMA USTAZ MOHD HASBI, KHALIFAH TAREKAT AL-AHMADIAH SINGAPURA

Ustaz Mohd. Hasbi Al-Ahmadi

Assalamualaikum semua,


Majlis Zikir gabungan 2 orang syeikh Tarikat Al-Ahmadiah Al-Idrissiah. Ustaz Mohd. Hasbi Bin Hassan dan Ustaz Haji Saari bin Hussain akan diadakan pada 23 September 2010 hari Khamis malam Jumaat, di Surau Haji Awang Alim, Kota Bharu, Kelantan. Majlis dijangka bermula dari pukul 7:00pm hingga 10:00pm. Ikhwan semua dinasihatkan agar datang awal bagi memudahkan meletak kenderaan (kawasan terhad). Kalau boleh "pooling" tu lagi bagus. 


Oleh itu semua ikhwan tareqah, sama ada yang baru atau lama dijemput menghadiri majlis ini beramai-ramai bagi menjayakan majlis zikir ini. Jamuan akan disediakan selepas majlis zikir. Jadi jangan kalut nak balik cepat. Kesempatan itu boleh digunakan untuk bersilaturrahmi antara ikhwan tareqat demi mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah.


Ustaz Mohd Hasbi adalah diantara salah seorang tokoh ulama di Singapura. Beliau adalah seorang tokoh ulama yang disegani dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Beliau banyak berjasa dalam kegiatan dakwah Islamiah di Singapura dengan memikul pelbagai tugasan, mengorbankan masa dan harta. Malah kesemua ahli keluarganya, terutama ibu-bapa dan adik-beradik beliau turut mendokong peranan beliau demi untuk masyarakat Islam di Singapura khususnya.


Mendapat pendidikan awal di salah sebuah sekolah Inggeris di Singapura. Kemudian melanjutkan pengajian agamanya di Madrasah Al-Junied Al Islamiah sehingga tamat pada tahun 1977. Selepas menamatkan pengajian di madrasah tersebut, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar pada tahun 1978 sehingga dengan izin Allah s.w.t beliau mendapat ijazah pertamanya (B.A.) dari Kuliah Usuluddin bahagian Aqidah dan Falsafah, di universiti tersebut pada tahun 1982. Pada tahun yang sama juga beliau meneruskan pengajian beliau di bidang yang sama di peringkat sarjana (M.A.) di universiti yang sama dan juga di Universiti Kahirah, Mesir. Namun beliau tidak dapat meneruskan pengajian beliau di peringkat tersebut, di dua buah universiti itu.

Beliau pulang ke Singapura pada akhir tahun 1985 dan berkhidmat di Madrasah Al-Junied selaku guru dan kemudian selaku Naib Mudir hingga tahun 1996. Pada tahun 1997 dengan izin Allah s.w.t beliau berpeluang meneruskan pengajian di peringkat sarjana (M.A.) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Alhamdulillah beliau berjaya dan dikurniakan ijazah sarjana (M.A.) di bidang Usuluddin dan Falsafah dari universiti tersebut pada tahun 2004.

Dengan kehendak Allah s.w.t., beliau telah berkhidmat dengan PERGAS sejak tahun 1986 selaku Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat, Naib Presiden dan Presiden sehingga kini. Dengan kehendak Allah s.w.t. juga beliau telah berkhidmat sebagai Anggota Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dari tahun 1993 hingga 1997, juga sebagai anggota penuh dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Singapura dari tahun 1993 hingga kini. Beliau turut memberikan sumbangan selaku Anggota Teras dalam pembentukan Kumpulan Pemulihan Agama atau lebih dikenali sebagai RRG (Religious Rehabilitation Group). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah atau ARB (Asatizah Recognition Board). Pada bulan April tahun 2006 beliau diminta untuk menerajui Madrasah Al-Junied Al-Islamiah dan beliau telah berkhidmat sebagai mudirnya hinggalah tamat kontrak pada Feb 2008. Beliau juga dilantik sebagai wakil Khalifah Tariqah Ahmadiah Singapura pada tahun 2004 oleh Tuan Shaykh Ahmad Idris bin Muhammad al-Hassan (seorang cicit kepada Pengasas Tariqah Ahmadiah Idrisiah) yang kini menetap di Sudan.

Semua jawatan dan tanggungjawab tersebut tidak pernah dimintanya tetapi dilantik dan diserahkan kepada beliau atas kepercayaan terhadap diri beliau.


Semoga Allah s.w.t. meredhai, menerima dan memberkati segala usaha baik beliau, menetapkan keimanannya dan meningkatkan ketaqwaannya dan diberinya sebaik-baik ganjaran di dunia dan juga di akhirat, Amiin.


Semoga malam yang dinyatakan nanti akan menjadi malam yang penuh dengan madad dan menjadi taman-taman syurga. 


Wasalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan