السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

USHULUDDIN





PENGENALAN KEPADA ILMU USHULUDDIN


Ilmu ini dikenali juga dengan Ilmu Tauhid, Ilmu Kalam, Ilmu Sifat, Ilmu 'Aqoid dan Al-Iman. Ianya diambil dari Al-Quran & Al-Hadith. Ianya mengandungi pengetahuan dan hal yang membahaskan tentang pegangan & kepercayaan kepada Allah & Rasul-rasulNya dengan segala dalil-dalil agar i'tiqod yang jelas & mantap diperolehi. 

Perbahasan tentang ilmu ini tertumpu kepada 4 perkara, iaitu;
  1. Zat Allah t.a. dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.
  2. Zat Rasul-rasulNya dari segi sifat-sifat yang wajib bagi mereka, sifat-sifat yang mustahil atas mereka dan sifat yang harus pada mereka.
  3. Segala makhluk dari segi jirim-jirim dan 'arodh-'arodh yang boleh menjadi petunjuk dan dalil atas wujudnya yang menjadikan mereka itu.
  4. Segala pegangan & kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada Rasulullah s.a.w., seperti syurga, neraka dan hari qiamat.
Faedah mempelajari ilmu ushuluddin ini ialah dapat mengenal Allah s.w.t. dan percaya kepada Rasulullah serta dapat membezakan antara 'aqoid yang sah & yang bathil. Jesteru tu membawa kebahagiaan di dunia & lebih-lebihan lagi di akhirat.

Hukum mempelajarinya adalah fardhu 'ain atas setiap orang yang mukallaf, lelaki mahupun perempuan agar mengetahui sifat-sifat Allah t.a. secara ijmal (ringkas) dan secara tafsil (mendalam) beserta dengan dalil ijmal. Adapun mengetahui dalil tafsil itu adalah fardhu kifayah hukumnya.

Ilmu Ushuluddin merupakan semulia-mulia & setinggi-tinggi ilmu, merujuk kepada hadith Nabi s.a.w.:

إنّ الله تعالى لم يفرض شيئا أفضل من التوحيد والصّلاة ولو كان شيء أفضل منه لافترضه على ملآئكته منهم راكع ومنهم ساجد
"Sesungguhnya Allah t.a. tidak menfardhukan sesuatu yang lebih utama daripada mengEsakan Tuhan dan sekiranya ada sesuatu yang terlebih utama daripadanya, tidaklah difardhukan ke atas malaikat-malaikat yang sebahagian dari mereka ruku' (selama-lamanya)  dan sebahagian dari mereka sujud (selama-lamanya)."

Kesimpulannya, Ilmu Ushuluddin ini merupakan asal kepada ilmu-ilmu lainnya yang wajib dipelajari & diketahui. Tambahan lagi ianya membahaskan perkara yang mulia, iaitu tentang Allah & RasulNya.



HUKUM 'AQAL


Setiap orang yang hendak mengenal Allah t.a. dan sifat-sifatNya, wajiblah terlebih dahulu mengetahui akan hukum 'aqal dan bahagiannya kerana ianya menjadi alat bagi menghukum sifat-sifat Tuhan yang diperintahkan kepada kita untuk mengenaliNya itu.


DEFINISI HUKUM 'AQAL
Menetapkan sesuatu perkara kepada suatu perkara lain atau menafikan suatu perkara daripada perkara lain dengan tidak memerlukan kepada dicuba pada menetapkan sesuatu perkara itu (hukum 'adi/'adat) dan tidak pula bergantung kepada sesuatu perbuatan yang dibuat oleh seseorang mukallaf (bersalahan dengan hukum syar'i)


PENGERTIAN 'AQAL
Satu sifat yang dijadikan Allah t.a. pada manusia yang dengannya membezakan antara manusia dengan haiwan. Dengannya manusia dapat menerima Ilmu Nazariyyah (pengetahuan yang memerlukan kepada penggunakan fikiran/minda) dan boleh mentadbir pelbagai pekerjaan yang rumit lagi halus serta lain-lain lagi. Tapi 'aqal ini memerlukan panduan, iaitu hukum syara' untuk berfungsi dengan baik dan waras dan begitu juga sebaliknya, hukum syara' memerlukan kepada 'aqal magi memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.


PEMBAHAGIAN HUKUM 'AQAL

  1. Wajib 'Aqli - perkara yang tiada diterima 'aqal tiadanya, hakikatnya mesti ada. Contohnya wajib bagi Allah itu bersifat qidam, iaitu Allah tu mesti bersifat qidam.
  2. Mustahil 'Aqali - perkara yang tiada diterima 'aqal adanya. Contohnya mustahil Tuhan baharu, maksudnya Tuhan itu tidak sesekali baharu.
  3. Harus 'Aqli - perkara yang boleh diterima 'aqal ada dan tiadanya silih berganti. Contohnya harus bagi Allah itu menurunkan hujan dan harus pula bagi Dia untuk tidak menurunkan hujan.



(Insyallah akan bersambung lagi nanti....)