السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

SENI BELADIRI (SILAT)

السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين, والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه أجمعين

Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan limpah dan kurniaNya, ana diizinkan untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang ilmu beladiri (silat) yang ana pernah pelajari bersama para pembaca sekalian. Mudahan ianya akan mendatangkan manfaat kepada para pembaca sekalian..., insyAllah.

Pun begitu, perkongsian ana ini bukanlah bermakna yang ana ni sudah amat mahir dan pakar dalam ilmu seni beladiri ini (jauh sekali), kerana yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui itu hanyalah Dia. Bahkan di luar sana lagi ramai yang sudah lama bergelar Guru. Semua ini hanyalah sekadar perkongsian. Lantaran itu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki lalu kita semua mendapat kebaikan darinya insyaAllah. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.

Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,

والسّلام عليكم ورحمة الله وبركاته


PENDAHULUAN

Semenjak ana bina bolg Nur As-Syifa' ni, sudah beberapa orang yang bertanyakan tentang ilmu persilatan, terutamanya pasal Tapak Suci. Ada antara mereka yang menyatakan minat terhadap keilmuan seni beladiri ini dan ingin mempelajarinya. Dari pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan, ana rasa cukup terpanggil untuk berkongsi beberapa perkara tentang ilmu beladiri yang ana telah pelajari (yang lain, maaf ana tak tahu), utamanya untuk memberikan kefahaman dan pengetahuan tentang keilmuan ini dari perspektif ana mengikut apa yang ana fahami dan hayati. Ana harap ianya dapat dibaca dengan minda yang terbuka dan hati yang ikhlas. Semoga para pembaca semua mendapat manfaat dari perkongsian ini...amin.

Secara umumnya, keilmuan yang ana kongsikan ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim, surah 'Ali 'Imran: 173-174;





الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّـاسُ إِنَّا النَّـاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ 


إِيمَـنًا وَقَالُوا حَسْـبُنَااللهُ وَنِعْمَ الْوَكِـيلُ, فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللهِ 


وَفَضْلٍ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّـبَعُوا رِضْوَنَ اللهِ, وَاللهُ ذُو فَضْلٍ 


عَظِيمٍ 

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya".  Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dialah sebaik-baik Pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. (Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

Jadi keilmuan seni beladiri yang ana kongsikan ini amat menitik beratkan kepada doa atau permohonan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Oleh itu, ianya lebih kepada konsep mentazkiyahkan (membersihkan) hati dan diri serta pemantapan aqidah Islamiyyah di dalam diri pengamal.

Wallahu a'alam bissowaab.


DUA KEKUATAN DIRI

Secara umumnya, pada diri seseorang manusia itu terdapat dua kekuatan yang saling berkaitan antara satu dengan yang lainnya. Dua kekuatan tersebut adalah adalah Kekuatan Fizikal dan juga Kekuatan Spiritual.

Kekuatan fizikal  adalah kekuatan yang terhasil dari bahan-bahan makanan dan minuman yang kita ambil sehari-hari yang kemudiannya ditukarkan menjadi tenaga fizikal. tenaga Fizikal ini pula berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain, bergantung kepada apa yang dia makan dan minum sehariannya. Selain dari itu kekuatan fizikal juga bergantung kepada unsur-unsur lain seperti udara dan juga riadah fizikal yang dilakukan. Semakin baik gizi pemakanan, kualiti udara dan cara latihan fizikal, maka semakin baiklah tenaga fizikal yang dihasilkan.

Contohnya, buruh kasar yang sentiasa melakukan kerja-kerja lasak dan berat, maka mereka ini memiliki tubuh badan yang kuat dari segi fizikalnya.


Kekuatan spiritual adalah kekuatan yang dikatakan berpunca dari minda bawah sedar (subconcious mind) dan dikatakan lebih besar tenaganya dari kekuatan fizikal. Pun begitu, tidak semua orang dapat mengolahnya dan memanfaatinya dalam kehidupan seharian walaupun semua orang memilikinya dan berpotensi untuk menjananya. Kenapa? Kerana ianya memerlukan kaedah-kaedah atau rangsangan-ransangan tertentu untuk dijana. Kekuatan ini sekiranya digunakan dengan cara yang betul, amat besar manfaatnya. Antaranya dalam perubatan, dalam memberikan saranan yang positif dan lain-lain lagi.


Minda bawah sedar ini merupakan suatu tenaga yang amat laur biasa yang dikurniakan kepada manusia. Pada umumnya manusia kerap menggunakan minda sedarnya sahaja berbanding dengan minda bawah sedar. Lantaran itu, suka ana kongsikan beberapa kaedah atau perlatihan asas yang dapat diamalkan untuk memperkuatkan dan meningkatkan kemampuan minda bawah sedar. Gelombang tenaga dari minda akan ditingkatkan agar dapat memanipulasikan tenaga spiritual.


Biasanya mereka yang dah meningkat keupayaan mindanya ke suatu tahap yang memuaskan akan dapat dilihat dengan meningkatnya semangat dan kemahuannya. Wallahu a'alam.




BELADIRI (SILAT)

Seni beladiri yang hendak ana kongsikan ini lebih kepada membina dan meningkatkan keyakinan dan keimanan kepada Yang Maha Pembela, iaitu Allah s.w.t. Kerana tiada sesiapa pun yang dapat membela dan melindungi diri kita melainkan Dia. Jadi apa yang kita usahakan di sini adalah untuk meraih pembelaan, pertolongan dan perlindungan dari Allah s.w.t. semata-mata. Kita sebenarnya tiada daya dan upaya melainkan dengan apa yang diizinkanNya sahaja. Jadi konsep atau prinsip yang hendak ana ketengahkan di sini adalah konsep tawakal, bergantung sepenuhnya kita kepada Allah s.w.t. Semakin dekat kita dengan Allah s.w.t., maka semakin dicintaiNya akan hambaNya itu dan bila Allah s.w.t. mencintai seseorang hambaNya itu, maka sudah pastinya Dia akan menjaga dan memberikan pertolongan dikala hambaNya itu memerlukan pertolonganNya...insyaAllah. Ini selaras dengan apa yang Allah s.w.t. sendiri firmankan di dalam kitabNya, surah At-Tolaq:2-3;

وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا, وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَيَحْتَسِبْ, وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ

 حَسْبُهُ, إِنَّ اللهَ بَالِغُ اَمْرِهِ, قَدْ جَعَلَ اللهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkakannya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupi (keperluan)nya."


Bagi meraih pertolongan dan perlindungan Allah s.w.t., bertakwa merupakan perkara yang paling utama. Latihan-latihan, kaedah-kaedah dan sebagainya lagi yang akan dinyatakan hanyalah sebagai ikhtiar dan usaha zohir sahaja. Bahkan sebahagiannya tak jauh bezanya dengan lain-lain ilmu beladiri.


AMALAN


Fungsi amalan di dalam ilmu beladiri adalah sebagai alat untuk mendekatkan diri kita dengan Allah s.w.t., sebagai tazkiiyatun nafs (membersihkan diri/nafsu). Jangan disalah fahamkan amalan untuk mendapatkan kelebihan dan kehebatan keduniaan kerana hasilnya nanti akan mengecewakan, bahkan boleh memudaratkan diri. 


Bila hubungan kita dengan Allah s.w.t. baik, maka insyaAllah doa kita juga akan maqbul. Doa mempunyai daya yang sangat kuat yang dapat meresap ke dalam hati-hati manusia. Maka untuk meningkatkan kekuatan doa tadi, seseorang itu hendaklah menjauhkan dan membersihkan diri dari dosa-dosa, lahir dan juga bathin dengan melakukan taubat yang sebenar-benarnya. Lantaran itulah maka mereka yang ingin mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. dan ingin meraih bantuan dan pertolongan dariNya sangat-sangat digalakkan untuk sentiasa bertaubat kepadaNya dari segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Kita manusia yang tidak maksum ni sudah setentunya juga tiada akan sunyi dari melakukan dosa, sama ada sedar atau tidak.


Demi menjaga hubungan kita dengan Allah jualah maka keilmuan seni beladiri yang ana kongsikan ini hanya untuk kegunaan yang baik-baik sahaja seperti untuk membela diri, keluarga, mereka yang memerlukan, agama, negara dan seumpamanya lagi. Maka sudah pasti tidak untuk kegunaan yang menyalahi kehendak dan perintah Allah s.w.t. seperti menunjuk-nunjuk, berbangga diri, cabar-mencabar, menyakiti orang lain atau lain-lain perbuatan jahat dan maksiat.


Oleh itu, baik atau buruk mempelajari keilmuan ini, bahkan lain-lain keilmuan sekalipun, bergantung kepada baik atau buruknya niat kita, betul atau salahnya niat kita, ikhlas atau "ada udang di sebalik batu". Juga memerlukan kepada keyakinan, kesungguhan, kesabaran dan ketekunan. Secara ringkasnya, tujuan atau matlamat mempelajari dan menguasai keilmuan ini adalah;
  • untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dan mendapat redhoNya di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat
  • untuk mentazkiyyah nafsu kita agar terbentuk akhlaq yang baik sesuai dengan kehendak Islam
  • sebagai medan da'awah bagi menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar
  • untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan
  • untuk mempertahankan diri, keluarga, harta benda, agama dan negara dari anasir-anasir jahat samada yang zohir mahupun bathin.
Kesimpulannya keilmuan seni beladiri ini akan insyaAllah mendatangkan manfaat sekiranya betul cara pembawaannya oleh mereka yang mengamalkannya, sekiranya tidak maka hasil yang sebaliknyalah yang akan diperolehi. Wallahu a'alam bissowab.





Insyallah akan bersambung nanti....