السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين


Adapun kemudian dari itu, ana merasa sangat gembira kerana dengan izinNya masih lagi diberikan kesempatan & kemampuan untuk sekali lagi membina blog bagi mencoretkan pengalaman ana yang mudah-mudahan akan dapat memanfaati para pembaca sekalian, insyAllah.


Pun begitu, ana yang jahil ini sangat-sangat mengharapkan teguran & pembetulan yang ikhlas serta penuh ukhuwwah Islamiyyah dari para pembaca sekiranya ada dari catatan ana nanti mengandungi kelemahan-kelemahan & kesilapan-kesilapan. Mudahan dengan teguran & pembetulan dari saudara semua, segala kesilapan & kelemahan dapat ana perbaiki. Jadi ana terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian & keikhlasan saudara itu. Semoga Allah t.a. menilainya sebagai satu amalan jariah di sisiNya.


Wa Billahit Taufiq Wal Hidayah,


والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ILMU PERUBATAN SUFI







APAKAH KESIHATAN?


Sebelum membicarakan tentang kesihatan seseorang manusia kita perlu terlebih dahulu memahami apakah itu manusia sebenarnya. Bagaimana ia terdzohir dalam bentuk fizikal sekarang ni, bagaimana ia terpelihara dalam alam ni dan apakah tujuan hidupnya.

Apa sebenarnya sakit? Adakah ianya sesuatu yang tidak baik?

Imam Al-Ghazali pernah berkata: "Penyakit itu adalah satu daripada bentuk pengalaman yang dengannya manusia dapat sampai kepada ALLAH, kerana ALLAH telah berfirman bahawa penyakit itu hambaNya dan disertakan olehNya dengan orang-orang pilihanNya."

Oleh itu, janganlah dengan cepat sesuatu penyakit itu kita anggap sesuatu yang buruk atau musuh, sebaliknya ia adalah satu kejadian, satu mekanisma badan yang bertugas membersih, menyuci dan mengimbangi diri kita dalam semua aspek, sama ada fizikal, emosional, mental dan juga spiritual. Kalau diperhatikan betul-betul, demam, selsema, cirit-birit dan sebagainya lagi adalah merupakan suatu proses di mana badan kita bertindak balas terhadap perkara-perkara yang menganggu keseimbangan unsur-unsur diri manusia tadi. Lantaran itu, sebarang usaha yang dilakukan untuk menghalang proses pemulihan keseimbangan badan ini (sebagamana perubatan Barat yang lazimnya menggunakan ubatan kimia) adalah seumpama kita menghalang diri kita dari mencapai kembali keseimbangan diri yang tergugat. Allah s.w.t. telah menjadikan diri manusia ini lengkap dengan suatu sistem yang mampu bertindak secara alami yang mengandungi hikmah yang tersendiri yang dapat memulihkan kembali ketidak seimbangan unsur-unsur diri manusia itu dengan sendirinya.

Oleh itu apakah peranan herba, makanan kesihatan dan kaedah-kaedah terapi?

Kesemua yang disebutkan di atas hanyalah membantu badan kita dalam proses penyembuhan. Contohnya bila kita luka, bukan iodin yang menyembuhkan luka kita, sebaliknya sel-sel kulit kitalah yang kembali tumbuh dan bercantum dengan izin Allah t.a.




UNSUR-UNSUR DIRI MANUSIA


Seseorang manusia mempunyai 4 unsur yang terdiri dari unsur fizikal, emosional, mental & spiritual. Ketidak-seimbangan dalam mana-mana unsur akan menyebabkan terjadinya penyakit. Dalam perubatan sufi, keseimbangan kesemua unsur-unsur diri ini diberi perhatian (di Barat kaedah penyembuhan sebegini dikenali sebagai Holistic Healing). 


Sebarang masalah pada unsur fizikal dapat diperhatikan dengan mudahnya utamanya pada pancaindera fizikal yang melibatkan pendengaran, pengelihatan, sentuhan, bau dan seumpamanya. Manakala unsur-unsur emosional, mental & spiritual diletak dalam kelompok yang sama, iaitu unsur-unsur yang non-fizikal atau metafizikal. Walaupun unsur-unsur metafizikal ini tidak kelihatan dengan mata kasar, ianya tetap beserta dengan jasad, bahkan menjadi sebahagian dari diri seseorang manusia. Ianya sentiasa berhubung dengan unsur fizikal. Keadaan unsur-unsur metafizikal ini akan memberi kesan kepada jasad. Contohnya bila seseorang marah, tekanan darah akan naik, badan berpeluh dan mata pun boleh jadi merah.


Unsur spiritual atau roh memainkan peranan yang terpenting kerana kesemua unsur-unsur lain berfungsi bila unsur roh itu ada. Roh lah yang menggerakkan kesemua unsur-unsur lain dan penggerak ini dikenali sebagai nafas. Kita boleh hidup tanpa berfikir atau bergerak (koma), tapi tidak tanpa bernafas. Ahli sufi menganggap nafas itu hidup dan akan terus wujud dengan izin Allah s.w.t. selagi mana Dia mengizinkan kita hidup.


Pusat atau tempat letaknya roh adalah hati. Segala perasaan dikaitkan dengan hati dan hati ini dinamakan Qalb. Ada 2 fungsi Qalb ini, pertamanya tempat simpanan sifat-sifat Ilahi dan keduanya nafas. Allah t.a. menggunakan sifat-sifatNya sebagai suatu cara untuk diri manusia itu berfungsi dan hidup dalam kewujudannya di alam ini.


Ahli sufi menggunakan pelbagai kaedah zikir yang dengannya menerbitkan kesan yang hebat yang dengan izinNya dapat membuka hijab (penutup) yang ada pada hati, lalu mengeluarkan tenaganya yang juga mampu menyembuhkan penyakit secara effektif.


Oleh itu, pengetahuan tentang hubungan unsur fizikal dan metafizikal perlu ada sebelum kita dapat mengetahui apakah sebenarnya maksud kesihatan yang hakiki. Dengan mengetahui alam dan peringkat wujudnya, kita akan mengetahui cara yang betul untuk mengimbanginya dan merawat setiap satunya.  jika diperhatikan secara mendalam, penyakit sebenarnya berasal dari minda sebelum kewujudannya secara fizikal.




MAQAM-MAQAM ROH


Dalam kehidupan kita, roh kita akan melalui maqam-maqam yang tertentu sebagaimana juga fizikal kita yang berkembang peringkat demi peringkat dari bayi, kanak-kanak, remaja, muda dan akhirnya tua.


Maqam bermaksud tempat berhenti dan rehat sebentar di samping lain-lain maknanya yang banyak. Susunan maqam dari peringkat bawah ke atas adalah seperti berikut;

  • Maqam An-Nafs (egotisma/nafsu)
  • Maqam Al-Qalb (Hati)
  • Maqam Ar-Roh (Roh)
  • Maqam As-Sirr (Rahsia Ketuhanan)
  • Maqam Al-Qurb (Kehampiran dengan Allah)
  • Maqam Al-Wisal (Kesatuan dengan Allah)
Semenjak lahir kita sentiasa berdepan dengan situasi melibatkan perjalanan roh kita ke maqam-maqam yang dinyatakan walaupun bukanlah kesemua orang berjaya mencapai maqam-maqam tersebut. Bagi ahli sufi, roh merupakan zat yang hidup, yang mempunyai kewujudannya yang tersendiri dari Allah s.w.t. dan adalah menjadi milik Allah s.w.t. Roh hanya dapat dibuktikan kewujudannya melalui penzahiran atau manifestasinya dalam alam fizikal. Roh berbeza dengan nafas, bahkan ianya lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat dirasai.

Setiap makhluk fizikal memiliki imbangan yang unik, antara panas dan sejuk, antara kering dan basah, antara pasif dan aktif. Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. ada menyatakan yang Dia menciptakan setiap sesuatu itu dalam imbangannya yang tersendiri. Contohnya darah yang bersifat panas dan lembap, jika ada sesuatu yang menganggu imbangan ini, maka akan terjadinya penyakit. Begitu juga emosi kita. Bahkan fikiran kita sentiasa berdepan dengan keadaan-keadaan yang mampu menggugat atau merubah keseimbangan yang normal melalui pancaindera kita.

Contoh lainnya adalah pendengaran. Muzik boleh memberi kesan yang mendalam kepada minda kita. Muzik yang tenang dan merdu akan mendatangkan kesan yang melegakan dan begitulah pula sebaliknya.

Selain dari pendengaran ada deria lain yang lebih kuat berbanding lain-lain deria, iaitu deria bau. Sesetengah orang mengatakannya ada kaitan dengan daya ingatan. Dengan sebab itulah timbulnya suatu bidang sains yang dikenali dengan "aromatherapy", yang menggunakan bauan sebagai bahan untuk menyembuhkan penyakit, 

Setiap bunga ada rohnya yang tersendiri. Oleh itu minyak bunga yang tulen boleh digunakan sebagai ubatan bagi penyakit-penyakit tertentu. Para sufi mengkelaskan bunga-bungaan mengikut kesannya pada roh dalam perjalannya menuju kepada Allah s.w.t. Setiap orang ada roh dan ianya unik bagi setiap orang. Seseorang muslim tak sama rohnya dengan orang kafir, ada yang lebih suci dan ada yang kotor.


MAQAM AN-NAFS

Setiap orang lahir dalam maqam an-nafs dan ianya merupakan maqam yang pertama dalam hidup di dunia ini. Bayi sebagai contohnya hanya berkehendakkan kepada keperluan fizikal sahaja seperti makan dan minum serta ada orang yang menjaga dan membelainya. Bila dia memerlukan sesuatu, dia akan menjerit dan menangis tanpa memikirkan akibat perbuatannya. Segala apa yang dibuatnya tidak diletakan sebarang nilai, tidak sebagai orang dewasa. Ini kerana pada maqam an-nafs, daya pertimbangan aqal dan pemikiran belum berkembang lagi. Ianya akan datang kemudian secara beransur-ansur dan mempengaruhinya dari faktor-faktor sekitarnya lalu membentuk perangai dan peribadi seseorang kanak-kanak tersebut.

Sebagaimana kanak-kanak yang membesar secara fizikalnya, begitulah juga diharap rohnya, berkembang maju dan meningkat ke maqam seterusnya. Al-Quran ada menerangkan bagaimana untuk maju dan meningkatkan roh. Bagi ahli sufi, peningkatan roh ini kepada maqam yang tertinggi menuju Allah adalah matlamat dan tujuan hidup ini. Lantaran itu mereka akan berusaha mencari jalan yang paling cepat dan dekat untuk sampai kepada Allah.


(bersambung nanti....insyallah)